Skip to main content

Rencana

Misi Paris 2024 bermula sekarang

fih-olimpik.jpg
Lengkap sudah 12 pasukan yang bakal bersaing dalam acara hoki lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Great Britain menjadi pasukan terakhir mengesahkan tempat ke Jepun selepas meraih kemenangan dengan agregat 9-3 menewaskan Malaysia.

Bermakna, Britain meneruskan tradisi mereka untuk beraksi dalam Sukan Olimpik berturut-turut sejak 1984. 

Di atas kertas dan juga di atas padang, skuad bimbingan Danny Kerry itu memiliki banyak kelebihan berbanding skuad hoki negara.

Tewas kepada Britain menyaksikan rekod kekalahan kita kepada mereka terus berpanjangan termasuk empat pertemuan dalam Sukan Olimpik antaranya di Sydney pada tahun 2000.

Jelas Britain bukan lawan kita untuk layak ke Tokyo dengan perlawanan di Stadium Lee Valley di London menyaksikan kepantasan dan corak permainan lebih tersusun Britain melemaskan anak buah Roelant
Oltmans.

Venue, cuaca dan juga sokongan penyokong tuan rumah bukanlah alasan kerana beberapa faktor, antaranya pemain-pemain Malaysia yang sudah kerap beraksi di Eropah.

Malah, ketika beraksi dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, kita juga tewas kepada Britain pada 2017, itupun dengan sokongan padu ribuan penonton sendiri dalam cuaca panas.

Justeru, bedah siasat besar-besaran perlu dilakukan dan jika ada keperluan untuk rombakan di peringkat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) serta pengurusan pasukan, ia perlu dilakukan.

Misi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 perlu bermula sekarang! 

Tugas pasti menjadi lebih sukar kerana ramai pemain-pemain senior bakal bersara antaranya penjaga gol tersohor S. Kumar, dua pertahanan berpengaruh, Sukri Mutalib dan Razie Rahim, serta penyerang prolifik, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Malah, ramai pemain-pemain yang ada sekarang bakal melewati usia 30 tahun pada tahun 2024, yang pasti tidak lagi mampu untuk menyaingi kudrat muda 10 pasukan terbaik dunia.

Wajah baru hoki negara perlu dibentuk sekarang, pencarian kepada pengganti pemain senior wajib digerakkan sekarang.

Malaysia perlu kembali semula ke pentas Sukan Olimpik menerusi perancangan bijak, rapi dan menyeluruh dan ia tugas berat dan amanah yang harus dipikul KHM.

Siapa Presiden baru KHM dan siapa barisan kepimpinan baru hanya akan ditentukan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam masa terdekat.

Tetapi apa tugas dan KPI mereka sudahpun menanti.

Ayuh bangkitlah hoki Malaysia - Misi Paris 2024 bermula sekarang!

Advertisement

Must Watch Video