Skip to main content

Rencana

Misi lebur badi Vietnam

72899660_2426850117411738_4613987047156219904_o.jpg
Rekod pertemuan Malaysia dan Vietnam jelas sekali tidak memihak barisan negara dan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Pala Asia 2023 pada Khamis, sudah pasti skuad "Naga Emas" dilihat memiliki kelebihan dengan aksi berlangsung di Hanoi.

Kali terakhir barisan negara mengatasi Vietnam adalah di separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2014 yang menyaksikan Harimau Malaya menang 4-2 di Hanoi untuk mara dengan agregat 5-4 ke pentas final.

Pertemuan terakhir dengan Vietnam menyaksikan mereka merakam kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Nguyen Anh Duc ketika aksi final kedua di Stadium My Dinh Disember lalu,  yang membolehkan pasukannya menjuarai Piala Suzuki 2018 dengan agregat 3-2.

Apa pun, rekod lalu kadang-kala tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan terkini kedua-dua pasukan untuk aksi kali ini.

Tidak dinafikan Vietnam kini mempunyai reputasi lebih hebat bukan saja sebagai juara Piala Suzuki, tetapi juga dengan dua orang pemain yang berpangkalan di Eropah (Doan Van Hau, SC Heerenveen dan Nguyen Cong Phuong, Sint-Trudence).

Namun, barisan negara juga kebelakangan ini menjelmakan peningkatan dan penulis optimis skuad kendalian Tan Cheng Hoe mampu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari Hanoi kali ini.

Jika dibandingkan prestasi skuad negara kini dengan barisan yang tewas kepada Vietnam di aksi final kedua Piala Suzuki tahun lalu, jelas sekali barisan kali ini lebih ampuh dan mempunyai variasi dalam permainan.

Pemain tengah menyerang, Syafiq Ahmad yang berupaya bertindak sebagai "false number nine" dijangka menjadi sandaran utama skuad negara meraih gol dengan pemain Johor Darul Takzim (JDT) kini sudah menjaringkan lima gol dalam tiga aksi antarabangsa bersama skuad negara.

Kehadiran Brendan Gan juga tampak menambah keampuhan  bahagian tengah dengan keupayaan bekas pemain Sydney FC ini merangka gerakan, serta turut kerap membantu benteng ketika diasak lawan.

Pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak juga dipanggil kembali Cheng Hoe kali ini dan penulis percaya, pemain berusia 32 tahun ini berupaya mengimbangi semula keampuhan benteng dengan gandingan bersama Shahrul Saad.

Penulis percaya rata-rata pemain negara juga mahu keputusan positif kali ini yang akan mengukuhkan kembali kedudukan skuad negara dalam Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jika kita berjaya membuatkan gergasi Asia, Emiriah Arab Bersatu bermandi peluh sebelum menang tipis 2-1, tiada sebab mengapa barisan negara tidak mampu menundukkan Vietnam di laman mereka.
 

Advertisement

Must Watch Video