Skip to main content

Rencana

Misi Chong Wei lakar rekod agung di Malaysia, Indonesia

lee-chong-wei2.jpg
Umum mengetahui di sebalik keagungan serta pencapaian terbilang dilakar Datuk Lee Chong Wei dalam arena badminton dunia, dia kempunan untuk raih beberapa gelaran utama. Piala Thomas, Juara Dunia dan yang paling sadis, tiga kali dikecewakan untuk rebut pingat emas Sukan Olimpik.

Chong Wei tidak putus asa, pada usia 35 tahun, dia masih gagah mengerah keringat. Misi terbarunya kini adalah untuk mencipta rekod yang tidak mampu digugat oleh mana-mana pemain dalam tempoh mendatang. Yang dimaksudkan adalah menjadi pemain paling berjaya dalam sejarah penganjuran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, dan percubaan untuk menjadi pemain asing paling banyak memenangi gelaran Terbuka Indonesia.

Untuk Terbuka Malaysia, Chong Wei sudah menyimpan sebanyak 11 koleksi kejuaraan sejak mula memenanginya pada 2004. Paling membanggakan sehingga satu tahap, Chong Wei berjaya mempertahankan kejuaraannya selama 7 tahun berturut-turut dari 2008 - 2014. Kali terakhir dia menggengam kejuaraan ini adalah pada 2016, menumpaskan lawan dari China, Chen Long dalam perlawanan akhir.

Chong Wei nyaris mendapatkan kejuaraan kedua belas tahun lalu, ketika Terbuka Malaysia dianjurkan di Kuching Sarawak, namun seteru utama yang sering membayangi Chong Wei di pentas utama dunia, Lin Dan menidakkan hasrat itu apabila tundukkan Chong Wei straight set, 19-21, 14-21 dalam aksi final. Ironinya, ia juga kejayaan pertama Lin Dan di bumi Malaysia. 

Kini Chong Wei dalam misi yang sama sekali lagi untuk kejar gelaran ke-12 di Terbuka Malaysia apabila kejohanan ini membuka tirai 26 Jun depan di Arena Axiata, Bukit Jalil. 

Dan sejurus tamat cabaran di Malaysia, Chong Wei akan berkelana ke Istora Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta bagi hadapi Terbuka Indonesia bermula 3 Julai depan. Chong Wei kini sudah mengumpul enam koleksi kejuaraan kejohanan itu bermula 2007. Ia menyamai apa yang telah dilakukan jaguh tempatan, Ardy Winata pada era 90-an. Jika Chong Wei berjaya raih gelaran ketujuhnya, ia pasti beri tamparan hebat buat peminat badminton Indonesia apabila warga asing lebih berjaya dalam kejohanan dianjurkan mereka. Apatah lagi Terbuka Indonesia merupakan salah satu siri kejohanan badminton dalam kalendar BWF yang menawarkan hadiah bernilai 1 juta USD selepas Terbuka China..

" Saya buat semua ini untuk negara, kalau akan datang orang tanya Chong Wei ini dari mana, biarlah mereka tahu saya dari Malaysia, dan semua rekod ini saya pegang"

" Saya memang harap rekod-rekod ini sukar untuk dipecahkan dalam masa yang terdekat, dan dalam masa yang sama saya mahu bagi semangat dan cabaran kepada pemain muda untuk cuba lakukan lebih daripada apa yang saya telah buat"  ujar Chong Wei dalam persiapannya menghadapi Terbuka Malaysia 2018.

Advertisement

Must Watch Video