RENCANA
Minggu paling malang buat Guardiola
Selepas mempamerkan dominasi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak permulaan musim 2017-18, Manchester City dilihat mampu melakar sejarah manakala Pep Guardiola adalah kunci di sebalik kejayaan mereka.
Kejuaraan ‘treble’ mula menghampiri mereka pada satu ketika apabila tiada pasukan dalam saingan bola sepak Inggeris mampu memberikan saingan apabila merakamkan 18 kemenangan berturut-turut sebelum tewas 4-3 kepada Liverpool pada Januari lalu mengubah segala-galanya.
Tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas kepada Wigan Athletic, City kembali menemui rentak dengan menjuarai Piala EFL dengan menewaskan Arsenal 3-0.
Iklan
Selepas mengharungi jalan mudah dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan mara ke suku akhir apabila menewaskan Basel, City sekali lagi menemui kekalahan di Anfield, dengan The Reds memiliki kelebihan tiga jaringan tanpa balas sebelum menghadapi aksi kedua di Stadium Etihad.
Berpeluang untuk meningkatkan moral pasukan dengan menjuarai EPL ketika bertemu Manchester United, dua gol pendahuluan City dileburkan oleh skuad kendalian Jose Mourinho itu dalam babak kedua yang membuatkan seluruh penyokong The Citizens kelu dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh seteru mereka itu.
Melengkapkan minggu yang mengecewakan buat Guardiola apabila mereka gagal untuk mencipta jaringan yang banyak apabila tewas 2-1 di Stadium Etihad kepada Liverpool yang kembali ke perlawanan separuh akhir buat kali pertama sejak 10 tahun lalu.
3 – Liverpool are the first team to beat a side managed by Pep Guardiola three times in a single season. Scourge. pic.twitter.com/dXAxvMQAr2— OptaJoe (@OptaJoe) April 10, 2018
Sebelum ini, City acap kali dicanang memiliki "squad depth" selepas berbelanja sebanyak GBP354 juta (RM1.9 bilion) tetapi akhirnya satu demi satu gelaran gagal digapai.
Apa yang sebenarnya telah berlaku?
Kesilapan taktikal dan pemilihan pasukan
Selepas melakukan kesilapan dalam taktikal ketika Bayern Munich tersingkir daripada saingan UCL, Guardiola melakukan perkara yang sama kepada City menjelang aksi di Anfield.
Keputusan untuk menggantikan Raheem Sterling dengan Ilkay Gundogan dengan menambah fizikal dalam jentera tengah City dihukum apabila ruang yang lebih terdedah membenarkan Liverpool melancarkan serangan.
Pemain-pemain 'pancit'
Aksi timbal balik berdepan Liverpool merangkumkan musim City: Permulaan yang pantas tetapi gagal untuk mengekalkan persembahan hingga penghujung.
Dalam setiap perlawanan, City mempamerkan permainan yang agresif bagi memburu jaringan dan kini ia menghukum mereka dengan tahap kecergasan pemain-pemain yang semakin merudum.
Ketiadaan Aguero buat City pincang
Berdasarkan blog yang ditulis Nafis Abdullah bertarikh 5 April: Aguero hilang, City tempang, ia membuktikan Gabriel Jesus masih belum lagi mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain kebangsaan Argentina itu.
Kehadiran pemain seperti Leroy Sane, Kevin de Bruyne dan David Silva yang melakukan gerakan gagal mencari penyerang untuk menyudahkan jaringan. Seperti contoh ketika berdepan United, Raheem Sterling yang bertindak sebagai penyerang melepaskan dua percubaan terbuka dalam separuh masa pertama yang mampu melenyapkan semangat mereka untuk bangkit.
Kejayaan takhta EPL sememangnya tetap akan hadir buat mereka tetapi dengan perbelanjaan yang telah dilakukan -- barisan pertahanan yang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan beberapa negara di dunia (bukan pasukan bola sepak), ternyata ia membuatkan Guardiola menggigit jari di atas kekecewaan ini.
Must-Watch Video