RENCANA
"Merci Zizou"
Sebelum ini penulis pernah membuat nukilan mengenai legenda Perancis, Zinedine Zidane yang berkecimpung dalam bidang kejurulatihan.
Berdasarkan pengalaman melatih pasukan 'Castilla', iaitu skuad kedua Real Madrid pada permulaan karier sebagai jurulatih, Zidane kemudian diberi tanggungjawab lebih besar menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2016.
Siapa sangka selepas hanya tempoh singkat, Zidane berjaya meraih 9 trofi keseluruhan bersama Real, dengan yang terbaharu sekali sudah pasti gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga berturut-turut susulan kejayaan mengatasi Liverpool.
Iklan
Meskipun mempunyai kontrak bersama Real sehingga 2020, Zidane buat keputusan sudah tiba masanya untuk dia melepaskan "kerusi panas" di kota Madrid itu selepas dilaporkan tidak mempunyai kuasa penuh dalam menentukan hala tuju pasukannya.
Sebagai bekas pemain di Real, Zidane sememangnya popular dalam kalangan peminat apatah lagi antara detik manis sudah pasti "volley" menakjubkan yang dilakukan ketika membantu Real menewaskan Bayer Leverkusen pada aksi final UCL musim 2001/2002.
Siapa jua pengganti di Real selepas ini, pastinya satu cabaran lebih sukar untuk cuba mengulangi apa yang telah dilakukan oleh Zidane sepanjang tempoh kurang daripada tiga musim dia bersama "Los Blancos".
Manakala untuk Zidane sendiri, penulis percaya dia sudah bersedia untuk harungi cabaran baharu dan tidak mustahil sedikit masa lagi dia akan mengendalikan skuad kebangsaan Perancis.
Statistik Zidane bersama Real Madrid:-
Perlawanan: 149
Kemenangan: 104
Peratusan Kemenangan: 69.8%
Gol: 393
Trofi:-
Liga Juara-Juara: 3
La Liga Sepanyol: 1
Piala Super Sepanyol: 1
Piala Super UEFA: 2
Piala Dunia Kelab FIFA: 2
Must-Watch Video



