RENCANA
Menghitung nasib ke Rio, Brazil
Apa tidaknya setakat ini hanya empat atlit terjun yang layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia di bumi Brazil.
Mungkinkah jumlah barisan atlit ke Rio kali ini semakin mengecil? Persoalan yang bermain di minda pengiat sukan setakat ini.
Sememangnya badminton, basikal trek, terjun, memanah dan menembak menjadi taruhan untuk kontinjen negara ke Rio.
Iklan
Paling terkesan skuad memanah yang belum ada seorang pun wakil yang layak sama ada dalam acara perseorangan mahupun berpasukan. Sedangkan sukan memanah mempunyai rekod yang cemerlang dan konsisten di pentas Olimpik sejak 2004 lagi.
Kecederaan dan prestasi menurun melanda skuad memanah negara dan harapan terakhir memburu slot individu menerusi kejohanan memanah Asia di Bangkok, Thailand bermula 2 November ini.
Jadi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan dua pemanah muda serta dua pemanah wanita memikul tugas besar memastikan memanah terus mempunyai wakil ke Rio atau sebaliknya berlaku...menjadi igauan buruk buat jurulatih mereka, Lee Jae Hyung terpaksa meninggalkan Majlis Sukan Negara.
Malang pula buat skuad menembak yang begitu bersemangat ke Kuwait untuk Kejohanan Asia tetapi dihampakan dengan keputusan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) yang membatalkan pengiktirafan kejohanan itu sebagai kelayakan ke Olimpik selepas kerajaan Kuwait enggan meluluskan visa kepada seorang pegawai persekutuan menembak antarabangsa yang berasal dari Israel.
Dengan membariskan 18 penembak dalam sembilan acara utama, diketuai Nur Suryani Mohamad Taibi, yang membuat penampilan di Olimpik London 2012 dalam keadaan berbadan dua, mereka terpaksa menanti kejohanan mana yang menjadi ganti untuk memburu slot ke Olimpik.
Paling dinantikan apakah pelumba basikal trek negara mampu terus mencipta impak dalam mengumpul mata kelayakan dalam siri trek Piala Dunia di Cali, Colombia hujung minggu ini.
Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet menjadi sandaran, malah Azizul dan Fatehah dicanang mampu layak secara merit untuk menggegar arena trek di Rio.
Hari dan masa kian suntuk tatkala ogos 2016 semakin menghimpit barisan atlit negara untuk membuat penampilan dalam pentas tertinggi sukan dunia, dikala kata-kata semangat terus dihambur untuk terus mencari dan mencari kilauan emas pertama Malaysia di peringkat Olimpik.
Must-Watch Video