BERIKUTAN pemergian bekas jurulatih bola sepak negara, Karl-Heinz Weigang, di Wiehl, Jerman, tanggal 13 Jun lalu, penulis akan menulis beberapa siri artikel sebagai penghormatan terakhir seorang jurutera yang akhirnya mengukir nama selaku pakar teknikal disegani di Asia dan Afrika.
DALAM cuaca dingin pada satu hari di bulan Disember 1995 di Chiangmai, penulis gagahkan semangat dan jasmani untuk mengejar Karl-Heinz Weigang.
“Weigang nama besar dalam bola sepak negara. Aku kena dapatkan pandangannya,” detik hati penulis.
Siapa tidak kenal Weigang? Ketika penulis berusia 10 tahun, wajahnya terpampang di dada akhbar sebagai arkitek kejayaan skuad negara menempah tiket ke Sukan Olimpik 1980. Lebih sedekad berlalu, namun nama Weigang kekal harum di Malaysia.
Bagi penulis, peluang terbaik bertentang mata dengan seorang jurulatih bertaraf legenda tidak harus dilepaskan.
Lebih penting, penulis mahu memetik kata-kata Weigang, selaku jurulatih Vietnam, menjelang pertemuan anak didiknya dengan skuad negara bimbingan jurulatih dari Perancis, Claude Le Roy, dalam Sukan SEA Chiangmai.
Sudut berita yang berlegar dalam minda penulis ialah satu perbandingan di antara dua jurulatih yang pernah bertugas di Cameroon tetapi intim dengan bola sepak Malaysia.
Sebab itu penulis meredah Perkampungan Sukan Chiangmai untuk mendapatkan mutiara kata Weigang sebagai perencah previu pertembungan di Stadium Utama Kompleks Sukan Chiangmai pada 4 Disember 1995.
Apabila melihat bas yang membawa skuad Vietnam pulang dari latihan dan tubuh tegap Weigang muncul, penulis mengikut setiap derap langkahnya. Pada mulanya, Weigang seolah-olah tidak mahu melayan penulis yang memperkenalkan diri sebagai wartawan dari Malaysia.
Sehinggalah Weigang tiba di muka pintu biliknya, akhirnya dia melayan persoalan penulis yang berkisar sekitar pengalamannya di Cameroon.
Tidak lama selepas kerjayanya di Malaysia berakhir dengan “The Kuwait Debacle” apabila skuad negara lesu dipanah cuaca terik Kuwait dalam kempen pra-Piala Dunia 1981, Weigang dikirim Kerajaan Jerman ke Cameroon.
“Saya ditugaskan membentuk pembangunan akar umbi Cameroon dari 1982,” kata Weigang.
Katanya, tujuh daripada anak didiknya beraksi untuk Cameroon yang mengejutkan Argentina dalam Piala Dunia 1990, termasuk Emile Mbouh Mbouh dan Andre-Kana Biyik.
Ditanya mengenai Le Roy, Weigang berkata: “Bukan tugas saya mengeluarkan penghakiman terhadap Le Roy. Namun saya tahu dia seorang jurulatih yang berpengalaman dan beruntung menonjolkan Cameroon ketika pemainnya bagus-bagus belaka.”
Kenyataan bernada sinis itu tentu sekali merujuk kepada dakwaannya bahawa kebanyakan teras skuad Le Roy yang muncul juara Kejohanan Negara-negara Afrika 1988 mendapat sentuhannya terlebih dahulu.
Berusia 60 tahun waktu itu, Weigang kembali menjadi jurulatih Vietnam pada Mac 1995.
“Saya datang ke Vietnam sebagai kawan, sebagaimana saya pergi ke Malaysia dahulu,” katanya yang melatih Vietnam Selatan ke Pestabola Merdeka pada lewat 1960-an.
Ditanya mengenai bola sepak Malaysia, “sekarang tidak ada Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Hassan Sani dan James Wong. Yang ada pemain hidup dalam buangan akibat rasuah.”
Temubual dalam 15 minit itu sarat dengan pelbagai maklumat untuk penulis.
Pasukan bola sepak Vietnam hidup dalam buangan selama 20 tahun gara-gara peperangan tetapi sebelum bertandang ke Chiangmai, mereka menghabiskan dua bulan menjalani latihan di Jerman dan Switzerland, dengan 19 perlawanan diatur.
Temasya dwitahunan Sukan SEA bukan perkara asing buat Weigang. Dia sedar betapa pentingnya pingat untuk bola sepak dalam temasya sukan sedemikian.
Menjadi penasihat kepada Datuk M. Kuppan dalam Sukan SEA 1977 dan juga Datuk Mohamad Bakar di Jakarta 1979, Weigang tahu ramai memandang enteng barisan Vietnam.
Jika Weigang merencana percaturan pasukannya di kaki Nguyen Hong Son dan Le Huynh Duc, Le Roy pula meletakkan V. Thinagaran dan A. Ganeson, dua pemain pertahanan yang tiada pengalaman antarabangsa, sebagai benteng terakhir, manakala Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Anuar Abu Bakar ditugaskan membedil pertahanan lawan.
Didorong etika berpasukan dan disiplin yang tinggi diiringi kepantasan individu sekalipun tidak memiliki kemahiran teknikal, Vietnam mencatat kemenangan 2-0.
Berita utama muka belakang Berita Harian keesokannya menyiarkan tajuk “Langkah mula serba tak jadi”, disusuli reviu dua hari kemudian yang memaparkan gambar besar Weigang bersalam dengan Le Roy di bawah tajuk “Le Roy terjebak jerat ciptaannya”.
Pasca perlawanan, penulis sekali lagi mendapatkan ulasan Weigang.
“Sebenarnya saya memiliki material yang baik, kalau sudah ada kelompok pemain berjiwa besar, setia, berdisiplin dan tidak banyak kerenah, itu memudahkan tugas seorang jurulatih,” katanya.
“Saya sebenarnya terkejut kerana bola sepak Malaysia tidak menunjukkan peningkatan, walaupun liga profesional sudah bertapak. Saya juga diberitahu pembangunan di peringkat negeri diabaikan dan jadual ketat menyulitkan tugas jurulatih.”
Weigang turut mengakui beruntung bekerja dengan generasi bertaraf amatur terbaik bola sepak negara yang tidak berdepan tuntutan jadual ketat.
Di sebalik kekalahan skuad negara ketika itu, ia ternyata menjadi kesan pemetik yang mempercepatkan kepulangan Le Roy tetapi berbeza pula dengan Weigang.
Rupa-rupanya dia bukan saja kembali ke Malaysia untuk meninggalkan legasi besar di Perak, bahkan Wisma FAM sekali lagi menjadi satu daripada perhentiannya!
BAHAGIAN KEDUA: Kisah penulis dihalau oleh Weigang!