Tempat kelapan dalam saingan Serie A serta terkandas dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah cukup untuk merumuskan musim 2013/14 sebagai permulaan zaman gelap buat AC Milan.
Dua tahun sebelumnya, mereka kehilangan tonggak utama ketika menjuarai Liga Juara-Juara 2007, iaitu Filippo Inzaghi, Clarence Seedorf, Alessandro Nesta serta 'kereta kebal', Gennaro Gattuso.
Zlatan Ibrahimovic dan Thiago Silva juga meninggalkan Milan pada tahun yang sama apabila berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).
Sejak itu, Milan tidak pernah layak ke mana-mana saingan Eropah selepas mengharungi musim-musim suram di peringkat domestik.
Jika dilihat pada sejarah Milan, skuad Rossoneri itu memiliki reputasi amat besar baik di peringkat Eropah mahupun domestik.
Masih ingat lagi skuad yang menjuarai Piala Eropah selama dua tahun berturut-turut pada tahun 1989 dan 1990 ketika di bawah kendalian Arrigo Sacchi?
Nama seperti Marco Van Basten, Frank Rijkaard serta Ruud Gullit semestinya menjadi pujaan setiap peminat bola sepak di Milan ketika itu, ditambah dengan tembok besar di depan penjaga gol bertunjangkan Paolo Maldini, Franco Baresi, Alessandro Costacurta dan Mauro Tassotti.

Mungkin juga peminat skuad Rossoneri telah lupa bahawa Milan pernah menjuarai Serie A hanya dengan 36 gol selepas 34 perlawanan ketika saingan 1993/94 sewaktu di bawah bimbingan Fabio Capello.
Itu semua kisah ajaib ketika zaman pemilikan Silvio Berlusconi di Milan selama 30 tahun dan kini era baru bakal bermula apabila semua saham kelab telah dijual kepada Rossoneri Sport Investment Lux, sebuah syarikat yang dimiliki pelabur China, Li Yonghong.
Yonghong berikrar akan mengembalikan kegemilangan ke San Siro dan dia sanggup melakukan apa sahaja demi skuad Rossoneri.
Buktinya, pintu perpindahan baru sahaja dibuka, namun pengendali, Vincenzo Montella, telah membawa masuk empat muka baru untuk menyarung jersi merah hitam Milan.
Franck Kessie dari Atalanta, Ricardo Rodriguez (Wolfsburg), Mateo Musacchio (Villareal) dan yang terbaru penyerang dari Porto, Andre Silva.

Purata umur keempat-empat pemain ini adalah 22 tahun dan jika faktor penjaga gol, Gianluigi Donnaruma, yang berusia 18 tahun diambil kira, masa depan skuad Rossoneri tampak lebih terjamin.
Penulis tidak sabar untuk menyaksikan kebangkitan anak buah Montella pada musim depan. Beraksi dalam Liga Europa pastinya membuatkan semua anak didiknya teruja untuk mengembalikan kemasyhuran yang telah lama hilang di San Siro.
Nota kaki: Penulis terfikir, tatkala AC Milan sibuk membeli pemain, Inter bekerja keras memilih pemain untuk dijual demi menyelamatkan kewangan pasukan. Nampaknya pemilik baru Inter, Zhang Jindong, tewas dalam pusingan pertama menentang Yonghong.