Skip to main content

Rencana

Masih ada ruang buat Malaysia

malaysia-myanmar-sea-games.jpg
Lapan tahun lalu merupakan detik terakhir Malaysia mengungguli pingat emas acara bola sepak di pentas Sukan SEA yang mana ketika itu diadakan di Jakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, skuad negara memerlukan enam tahun untuk kembali beraksi di pentas final tetapi berputih mata susulan kekalahan 1-0 di tangan Thailand.

Justeru, saingan di Filipina pada tahun ini pastinya menjadi cabaran getir buat Malaysia untuk memastikan emas berjaya diraih berbekalkan senarai pemain yang boleh dikatakan mampu mencipta satu skuad yang ampuh.

Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin masing-masing hadir daripada skuad utama JDT sambil Syahmi Safari merupakan tonggak utama buat Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

Seorang lagi pemain JDT, Haziq Nadzli, masih menerima kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk mengawal pintu gawang daripada dibolosi sekali gus memberikan sinar bahawa skuad kali ini berpotensi untuk meraih emas berbekalkan pengalaman yang dimiliki dalam pasukan.

Namun, segala harapan bagaikan direntap selepas Malaysia dipaksa seri 1-1 ketika aksi pembukaan menentang Myanmar sekali gus membuatkan anak buah Kim Swee tiada pilihan selain menang dalam baki tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk memudahkan laluan ke pusingan seterusnya.

Kim Swee kekal tenang dengan keputusan itu ketika ditemui wartawan Nadi Arena, apabila berkata: "Satu mata tentunya lebih baik berbanding gagal tanpa sebarang mata jika tewas."

Selepas ini, cabaran getir menanti apabila Malaysia bakal berdepan Filipina pada 29 November ini dalam aksi di mana lawan pastinya diperkuatkan dengan sokongan padu penyokong di laman sendiri.

Di atas kertas, Filipina memiliki kelebihan tetapi jika gandingan Luqman Hakim Shamsuddin, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Akhyar Rashid mampu mempamerkan ketajaman di depan pintu gol, dibantu dengan kreativiti tinggi dalam mencipta peluang oleh Daniel Amier Norhisham dan Nik Akif Syahiran Nik Mat di bahagian tengah, tiada keraguan Malaysia mampu mengejutkan tuan rumah.

Jika ada pihak yang sangsi dengan kemampuan skuad negara, masih terlalu awal untuk menghakimi mereka dan harus diingat, siapa lagi yang perlu yakin dengan kebolehan Malaysia jika bukan kita.  

Kredit foto: FAM
 

Advertisement

Must Watch Video