RENCANA
Masalah bangku simpanan hantui Dharma
Prestasi skuad hoki wanita negara dilihat meningkat drastik di bawah bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah dalam beberapa kejohanan disertai sejak kebelakangan ini.
Ia bermula dengan kejayaan mereka layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium tahun lalu walaupun menamatkan kempen pada tempat tercorot.
Kurang dua minggu dari sekarang, pasukan yang diberi jolokan Malaysian Tigress itu akan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan bermula 13 hingga 20 Mei ini.
Iklan
Dua tahun lalu sewaktu di Singapura, mereka mencipta kejutan dengan melakar sejarah tersendiri apabila buat kali pertama berjaya menewaskan pasukan No. 12 dunia, Jepun dengan keputusan 2-0.
Barisan pemain wanita tentunya mahu mengulangi prestasi cemerlang itu dalam misi memecahkan dominasi empat terbaik Asia milik China, India, Korea Selatan dan Jepun pada saingan kali ini.
Bagaimanapun, barisan kejurulatihan diketuai Dharma perlu memperbaiki beberapa aspek terutama masalah di bangku simpanan pemain.
Aspek ini menjadi masalah utama buat Dharma dan barisan kejurulatihannya untuk melakukan sistem penggiliran pemain dalam perlawanan - perlawanan di mana-mana kejohanan dan terbaru sewaktu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Dharma terpaksa mengerah kudrat empat tonggak pertahanannya iaitu kapten, Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din, Nuraini Abdul Rashid dan Raja Norsharina Raja Shabuddin sepanjang 60 minit perlawanan dalam semua perlawanan di sana.
Mungkin disebabkan faktor pemain pertahanan yang lain kurang pengalaman menyebabkan beliau terpaksa bergantung harapan kepada pemain-pemain ini agar gawang negara kebal atau tidak dibolosi dengan jumlah jaringan besar.
Situasi penjaga gol juga sama dengan Farah Ayuni Yahya kekal menggalas tugas berat itu kerana jurangnya dengan pilihan kedua, Mas Huzaimah Aziz dilihat masih jauh.
Posisi yang lain seperti tengah dan serangan juga memperlihatkan perkara sama dengan pemain-pemain utama terpaksa bermain lebih banyak waktu berbanding yang lain.
Masalah ini wujud mungkin disebabkan Dharma tidak mempunyai banyak pilihan kerana kumpulan pemain yang kecil untuk diserap mewakili negara selain kebanyakannya masih lagi 'mentah' pengalaman di pentas antarabangsa.
Bagi memperbaiki kekuatan bangku simpanan agar menyamai atau seimbang dengan pemain-pemain kesebelasan utama, pihak bertanggungjawab perlu memberikan banyak pendedahan perlawanan berkualiti tinggi kepada mereka.
Cadangan saya agar mereka kerap diberikan peluang bermain aksi persahabatan menentang negara-negara dalam kelompok 10 terbaik dunia supaya sistem penggiliran pemain dapat dijalankan dengan adil dan berkesan.
Saya merasakan masalah di bangku simpanan inilah sebenarnya menyekat potensi sebenar Malaysian Tigress untuk mencapai keputusan positif apabila bertemu gergas-gergasi dunia walaupun mereka sudah tidak jauh untuk melakukannya.
Di Sukan Komanwel 2018, mereka cuma tewas 0-3 kepada England yang rata-rata dibarisi pemain yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2016.
Tewas 0-3 kepada England yang mengasak bertubi-tubi selain tiga penalty stroke berjaya diselamatkan dan pada masa sama turut memperoleh beberapa pukulan tepat dan pukulan sudut penalti membuktikan Malaysian Tigress mempunyai potensi yang amat cerah di masa depan.
Malah skuad negara yang menghuni ranking ke-22 dunia, masih mampu mengikat pasukan ke-14 dunia, Afrika Selatan walaupun sistem penggiliran tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya pada Sukan Komanwel 2018.
Jika masalah ini diselesaikan, maka tidak mustahil buat Malaysian Tigress untuk menempatkan diri sebagai empat pasukan terbaik Asia pada Trofi Juara-Juara Asia 2018 yang merupakan medan pemanas badan untuk Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos nanti.
Sukan Asia adalah medan terpenting buat Malaysian Tigress dalam tahun 2018 ini apabila Konfederasi Hoki Malaysia telah meletakkan sasaran sekurang - kurangnya pingat Gangsa perlu di bawa pulang.
Must-Watch Video