Skip to main content

Rencana

Mari sama-sama angkat topi kepada Liverpool

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

liverpoolclub.jpg
Dirgahayu Liverpool!

Katalah apa saja saja terhadap mereka sebelumnya, irilah terhadap pencapaian mereka dan teruslah berharap mereka akan tersandung… tapi hari ini bukan harinya.


Kerana hari ini Liverpool baru ditabalkan raja kelab seantero dunia dan tiada apa-apa yang lain yang selayaknya melainkan The Reds ‘didaulatkan’ kawan dan lawan.

Kelab juara Brazil dan seluruh Amerika Selatan, Flamengo, sekalipun dikerah akur kepada kejaguhan juara Eropah dan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu – secara kebetulan hasil sumbangan besar dua anak watan Brazil, Roberto Firmino, dengan gol kemenangan dan Alisson Becker yang enggan membenarkan pintu golnya dibolosi.



Hanya pada 1 Jun lalu, Liverpool dipakaikan mahkota juara Eropah dan kini, 21 Disember (mengikut waktu di sana), mereka ditabalkan pula raja segala kelab di dunia – di antara kedua-duanya pula trofi Piala Super Eropah selepas menundukkan Chelsea di Istanbul, Ogos lalu.

Dengan tahun yang kian ke penghujungnya, seperti dirumuskan laman www.espn.co.uk, Liverpool boleh merenung perjalanan mereka sepanjang 2019 ini sebagai antara yang amat mengujakan, tidak terkecuali ia turut meletakkan asas untuk The Scousers itu memburu matlamat menamatkan penantian untuk bergelar juara EPL buat kali pertama sejak 1990.

Kesudahannya awal pagi tadi, gol Firmino dalam masa tambahan pertembungan sengit dengan Flamengo dalam final Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan kelab dunia yang pertama buat Liverpool ihsan keputusan 1-0.

Hanya enam bulan selepas kejayaan kelab itu memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali keenam, Liverpool akhirnya menambah kejuaraan kelab dunia dalam senarai pencapaiannya selepas tiga kegagalan sebelumnya pada 1981 kepada Flamengo (0-3), 1984 kepada Independiente (0-1) dan 2005 kepada Sao Paulo (0-1).

Ehemm ehemm… sebelumnya hanya Manchester United adalah satu-satunya kelab Inggeris yang pernah bergelar juara kelab dunia – bukan sekali tapi dua – pada 1999 (1-0 ke atas Palmeiras) dan 2008 (1-0 ke atas LDU Quito).

Kini, selepas sekian lama dan pastinya berkat usaha mereka yang tidak mengenal putus asa, Liverpool turut beroleh penghormatan yang sama, malah mungkin akan terus mengatasi musuh ketat mereka itu.



“Kami tidak boleh melakukan lebih daripada malam ini untuk memenangi kejuaraan ini buat kali pertama untuk kelab menakjubkan ini,” kata pengurus The Reds, Jurgen Klopp.

“Ia benar-benar mengagumkan dan saya sangat-sangat bangga dengan pemain kami. Ia satu malam yang indah buat kami dan setiap orang yang bersama kami.

“Flamengo juga harus bangga dengan apa yang pasukan mereka lakukan. Tapi saya percaya kami yang lebih berhak menang – kami adalah pasukan yang lebih baik.”

Selepas hampir ke penamat tahun yang mempesonakan, harus tidak ramai – kecualilah penyokong totok United – boleh mempertikaikan status baru Liverpool selaku pasukan terbaik di dunia ketika ini.

Sepanjang 2019 hingga kini, Liverpool telah beraksi dalam 56 perlawanan, menjulang tiga trofi, mengakhiri kemarau panjang kejuaraan dan melonjakkan diri mereka untuk menamatkan penantian untuk merajai kancah EPL semula.

Jangan sesekali kita lupa bahawa Liverpool kini adalah pemenang bersiri yang mewajarkan kita sama-sama angkat topi kepada mereka.

Advertisement

Must Watch Video