Skip to main content

Rencana

Manusia tiada keterbatasan

eliud-kipchoge.jpg
"No human is limited!"

Empat perkataan ini menjadi asas kepada pendirian jaguh maraton dari Kenya, Eliud Kipchoge, yang memakai gelang bertulis perkataan keramat ini. Membaca artikel yang ditulis dalam BBC online mengenai pelari ini boleh memberi pengajaran kepada diri saya dan saya pasti kepada atlet negara juga dalam mengejar kejayaan.

Kipchoge, pemegang rekod dunia maraton dengan catatan dua jam, satu minit dan 39 saat di Maraton Berlin, September lalu, kini mengejar impian untuk menjadi pelari maraton pertama yang berjaya melakukan catatan di bawah dua jam. Percubaannya itu menyebabkan ramai meragui sama ada ia mampu dilaksanakan tetapi Kipchoge meletakkan sasarannya dalam perspektif yang berbeza.

"Fikiran yang menggerakkan manusia," kata Kipchoge. "Seandainya anda mempunyai keinginan yang murni dalam diri anda -- bahawa anda mahu berjaya, maka anda boleh mengawal fikiran anda dan ia akan menjana kejayaan untuk anda."

Kata-kata yang mempunyai hikmahnya. Natijahnya adalah mudah. Kita mengawal kejayaan atau kegagalan diri sendiri. Dan bagi seseorang atlet, mereka adalah penentu kepada kejayaan mereka. Dalam konteks atlet kebangsaan, mereka juga perlu mempunyai pendirian seorang juara. Jadikan kata-kata Kipchoge ini sebagai satu azimat.

Saya pasti atlet kita mempunyai pendirian seperti ini tetapi adakah jumlahnya banyak? Sekarang ini kita lihat lebih banyak kekecewaan berbanding kejayaan. Selain itu, dengan atlet yang kini 'berkuasa' ke atas prestasi mereka, beberapa tuntutan yang dibuat dan juga beberapa luahan yang dikeluarkan di media sosial lebih menyerlah berbanding mengimbanginya dengan prestasi yang cemerlang.

Saya ingin memetik lagi artikel yang ditulis:

"Untuk hampir 300 hari setahun, Kipchoge tinggal dan berlatih berjauhan daripada isteri dan tiga anaknya di pusat latihan yang biasa di Kaptagat, pekan kecil di pergunungan Kenya.

"Dia dikenali sebagai 'boss man' oleh rakan sepelatihnya tetapi itu tidak menghalangnya daripada mencuci tandas atau berkongsi melakukan tugasan harian."

Adakah atlet negara mempunyai mentaliti yang sama dalam usaha untuk mencapai kegemilangan? Senario sukan negara sudah berubah. Atlet menjadi lebih berani untuk bersuara dengan media sosial menjadi kegemaran mereka untuk meluahkan perasaan.

Dalam kita mengejar kegemilangan di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, adalah penting atlet mempunyai semangat tinggi, jiwa luhur serta kepercayaan dan keinginan untuk berjaya. Tidak dinafikan bukan mudah untuk menjadi juara, laluannya cukup berliku. Namun, seperti kata Kipchoge, manusia tiada keterbasannya.





 

Advertisement

Must Watch Video