RENCANA
Man City kekal lawan harus diatasi
Kurang hanya sebulan lalu, Manchester City bermegah dengan dua mata di atas Liverpool di mercu liga. Namun, daripada pasukan pendahulu, kini The Citizens bertukar peranan selaku pasukan penghambat.
Daripada berkelebihan perbezaan jaringan 15 gol di pihaknya, mereka kini 10 mata di belakang Liverpool – tidak termasuk perlawanan dengan Southampton malam ini – dan tidak pun menghuni tangga kedua yang sebaliknya diisi Tottenham.
Tewas tiga daripada empat perlawanan terakhirnya setelah lama mempertahankan rekod tanpa kalah, City mengalami perubahan nasib secara mendadak yang barangkali tidak pernah terfikir mampu menimpa mereka.
Iklan
Didahului oleh kekalahan 0-2 kepada Chelsea (A) pada 9 Disember, 2-3 kepada Crystal Palace (H) pada 23 Disember dan 1-2 kepada Leicester (A) tiga hari kemudian, naratif berkaitan City turut berubah, dengan tidak lagi dianggap sebuah pasukan serba penakluk.
Bagaimana ia boleh berlaku ke atas skuad bimbingan Pep Guardiola itu?
Laman espn.com merumuskannya sebagai berpunca daripada keretakan di benteng pertahanan, khususnya Kyle Walker di bek kanan, yang kerap terdedah kepada melakukan kesilapan hingga menjadi punca kepada tiga gol Palace.
Berdepan Leicester, ia menjadi giliran Fabian Delph pula untuk ditelanjangi daripada kelincahan Marc Albrighton dan Hamza Choudhury. Dalam pada itu, Delph bukanlah seorang pertahanan semulajadi setelah dipindahkan dari barisan tengah.
Dengan Benjamin Mendy terkeluar untuk beberapa waktu lagi kerana kecederaan, tinggallah Danilo atau Oleksandr Zinchenko untuk diharapkan Guardiola apabila berdepan Liverpool dengan trio serangannya, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane di Stadium Etihad, Khamis ini.
Untuk sebahagian besar separuh pertama musim ini, Guardiola berupaya menutup sebarang kelompongan di bentengnya dengan menekan jauh ke atas – selama boleh membataskan permainan di kawasan lawan bagi mengurangkan tekanan kepada pertahanannya.
Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, gambarannya terserlah yang permainan City semakin berundur ke belakang, seakan-akan menggamit lawan untuk menyerang mereka.
Paling tertekan haruslah Fernandinho, satu-satunya pemain tengah bertahan City. Namun, dalam ketiadaannya, tiada pemain lain mampu mengambil alih. Kedua-dua John Stones dan Ilkay Gundogan yang dicuba untuk peranan itu, jelas tidak selesa.
Guardiola amat menyedari keperluan melakukan peningkatan di bahagian ini, yang harus menjadi tumpuannya dalam jendela perpindahan bulan depan.
Tidak terhenti setakat itu, ketumpulan penyudah turut menghantui City akhir-akhir ini, yang menceritakan kenapa mereka berhempas-pulas ketika tewas kepada Crystal Palace dan Leicester.
Kekaratan Sergio Aguero turut tidak banyak membantu mempermudah keadaan buat Leroy Sane, Bernardo Silva dan Raheem Sterling.
Guardiola amat taksub dengan formasi 4-3-3. Bukan silapnya kerana ia telah banyak membawa kemenangan pasukan musim ini tapi semakin lama, lawan juga semakin bijak untuk mengatasinya sehingga pasukan sekerdil Palace mampu mencetuskan kejutan.
Sama seperti Antonio Conte yang menimbulkan sensasi bersama Chelsea dengan susunan 3-4-3 sebelum lawan menemui jalan untuk menembusinya, Guardiola perlu turut merangka pelan berbeza andai status juara bertahan masih berharga buat mereka.
Apapun, keupayaan City tidak akan mudah diketepikan begitu saja.
Must-Watch Video