Skip to main content

Rencana

Mampukah drama Rafael Nadal bawa penamat sempurna musim 2017?

71017rafael-nadal.jpg
Sengaja saya mulakan nukilan ini dengan persoalan. Biar awal-awal lagi minda kita terbuka dalam menilai kemampuan pemain yang diangkat "living legend" bagi sukan tenis ini.

Nadal baru sahaja kembali sebagai pemain nombor satu dunia sebaik melangkah ke suku akhir Masters Paris. Namun pemain dari Sepanyol ini tidak menghabiskan saingan kerana mengalami kecederaan lutut kanan. Ada cakap-cakap nakal mengatakan ia strategi untuk mendapatkan lebih rehat bagi bersaing di kejohanan yang dianggap penting buatnya, iaitu Final Jelajah Dunia ATP.

Semua sedia maklum 2017 merupakan antara tahun terbaik Nadal dengan kejuaraan Grand Slam. Alangkah indahnya jika ia turut dilengkapkan misi kedua iaitu trofi yang belum pernah didakapnya sebelum ini. Sepanjang bergelar pemain professional, Nadal hanya pernah beraksi di pentas akhir Final ATP sebanyak dua kali tetapi tewas di tangan Roger Federer dan Novak Djokovic pada 2010 dan 2013.

Kecederaan lutut kanan mungkin sahaja "perang psikologi" dari Nadal dalam memastikan dia sekurang-kurangnya hanya perlu bersaing dengan Federer yang punya reputasi baik di kejohanan ini iaitu enam kejuaraan. Baki enam lagi pencabar boleh dianggap mentah seperti Grigor Dmitrov yang membuat penampilan pertama dan anak muda dari Jerman, Alexander Zverev yang kali pertama menggalas status pemain di ranking ketiga dunia.

Reputasi Federer sahaja sebenarnya sudah cukup buat Nadal pening kepala. Federer umpama pakar di kejohanan ini apabila menjadi pemain paling banyak mencetak kejuaraan, mengatasi Pete Sampras, Ivan Lendl dan Novak Djokovic yang menang lima kali. Dengan kali terakhir muncul juara enam tahun lalu, Federer pastinya lebih ghairah dalam mencari kemenangan kali ini.

Mujur Federer diletakkan dalam kumpulan Boris Becker bersama Marin Cilic, Zverev dan Jack Sock, sementara Nadal bolehlah dianggap mengetuai kumpulan Pete Sampras sambil cuba disaingi Dominic Thiem, Dimitrov dan David Goffin yang dijadual selaku seteru pertamanya. Namun benarkah ia cukup untuk Nadal berasa lega? 

Apa yang pasti, Nadal perlu segera menetapkan fokus di kejohanan terakhir musim ini. Jika benar kecederaan mengganggunya, rezeki untuk mencabar Federer nampaknya tertangguh lagi. Dengan itu saya akhiri nukilan ini dengan serangkap pantun..

Rafael Nadal No.1 Dunia,

Roger Federer tetap pilihan utama,

Adakah anda seperti saya,

Tepuk dada tanyalah selera.

Advertisement

Must Watch Video