RENCANA
Malaysia lawan Lubnan: Emosi 10 minit
Anda puas hati dengan persembahan yang dipamerkan Harimau Malaya ketika menentang Lubnan?
Maafkan saya jika penulisan ini dimulakan dengan persoalan. Dengan persoalan jugalah saya harap kita semua sama-sama dijentik jawapan yang mampu menyambung titik-titik yang wujud ketika menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Asia yang berlangsung di Larkin pada Selasa.
Sesungguhnya, faktor kecergasan bukanlah topik yang mahu saya sentuh ketika kita bercakap tentang golongan profesional. Saya juga percaya berkat bulan Ramadhan, tiada yang mustahil andai niat kita ikhlas melakukan sesuatu. Malahan pihak lawan juga negara Islam yang pastinya para pemain mereka juga turut sama menjalani ibadah puasa.
Iklan
Jelas tempoh kurang sebulan belum lagi mencipta keserasian di antara pengendali baru, Nelo Vingada dengan pilihan pemain yang diturunkannya. Tanpa tempoh "bulan madu" untuk suai kenal mesra, Vingada yang dikenali dengan reputasi hebat bersama skuad muda Portugal dan beberapa pasukan dari tanah Arab, diharap menjadi "talian hayat" yang mampu bawa sinar baru kepada bola sepak negara.
Harapan tinggi menggunung seolah-olah selari dengan realiti sebaik menyaksikan Mahali Jasuli meledak gol pembukaan Malaysia. Kepuasan yang boleh saya andaikan seperti tegukkan pertama sebaik azan maghrib dialunkan. Sejujurnya saya hampir lupa bilakah kali terakhir saya lepas laku untuk jeritan "golllllllllllll" sekuat itu, yang saya pasti mengejutkan makcik dan pakcik sebelah rumah.
Namun senyuman yang terukir itu sedikit demi sedikit disulami resah, apatah lagi ketika Lubnan semakin meningkatkan tempo permainan. Ternyata penyakit "last minute" masih menjadi igauan buruk dengan kealpaan yang buat saya bingung "Ahh kalaulah perlawanan ini berakhir pada minit ke-80" pastinya gol penyamaan itu tidak wujud dan segalanya kekal memihak Malaysia.
Berbalik kepada realiti, di sebalik tempangnya Harimau Malaya di sana-sini, mungkin inilah persembahan terbaik yang mampu dilakukan Vingada. Dia sendiri tiada peluang melihat kemampuan sebenar para pemain di depan matanya sepuas hati kerana tibanya dia di tanahair saat sudah tempoh rehat liga. Umpama beli baju raya secara online, tak dapat cuba dan rasa kualiti kain. Mana nak sama kepuasaan berada di gedung pakaian mahu pun mengharungi lautan manusia di Jalan TAR bukan.
Jadi saya bersedia melupakan duka 10 minit terakhir itu, dan mengambil kesempatan pada 10 Ramadhan terakhir tahun ini untuk sama-sama kita mendoakan kesejahteraan Malaysia, supaya sukan terus menjadi antara medium yang menyatu padukan kita semua. Selamat beribadah.
Must-Watch Video