Skip to main content

Rencana

Malaysia akan ke final jika...

hoki-lelaki-piala-asia-201017.jpg
Malaysia merakam kekalahan pertama dalam kempen Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, apabila tewas di tangan pasukan pilihan dan pasukan ranking tertinggi dunia, iaitu India.

India menewaskan Malaysia 6-2 dalam perlawanan kedua buat kedua-dua pasukan di peringkat Super 4's.

India setakat ini mengumpul empat mata hasil keputusan seri dengan Korea Selatan dan menang dengan Malaysia untuk mengungguli tempat teratas manakala Malaysia berada di tempat kedua dengan tiga mata. Korea di tangga ketiga (dua mata) selepas seri dua perlawanan menentang India dan Pakistan. Pakistan di tempat terakhir dengan satu mata.

Keempat-empat pasukan ini terpaksa menanti dalam perlawanan terakhir nanti untuk menentukan nasib masing-masing untuk layak ke perlawanan akhir.

India turun menentang Pakistan manakala Malaysia turun menentang Korea. Buat pasukan negara, jika menang menentang Korea mereka akan ke final meskipun apa pun terjadi dalam perlawanan di antara Pakistan dan India yang akan berlangsung esok selepas perlawanan di antara Malaysia Korea.

Saya telah menjangkakan satu perlawanan yang sukar buat Malaysia ketika berdepan dengan India. Walaupun tahun ini Malaysia dua kali menewaskan India dalam kejohanan yang berbeza. 

India mempunyai pemain-pemain yang sempurna dari semua aspek. Pemain-pemain mereka mempunyai skil teknikal yang tinggi, kepantasan, kecergasan fizikal juga tinggi. Dalam situasi pukulan sudut penalti, mereka mempunyai Harmanpreet Singh yang saya anggap antara pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia ketika ini.

Jika tersilap langkah ataupun bukan hari kita, kita boleh kalah dengan jaringan yang besar. Itulah hoki antarabangsa.

Seperkara lagi dalam setiap kejohanan yang melibatkan banyak perlawanan, lazimnya akan ada satu perlawanan yang menyaksikan sesebuah pasukan berada di bawah tahap sebenar. 

Saya menganggap kekalahan Malaysia dengan India ini adalah situasi seperti yang saya nyatakan di atas.

Serba tidak menjadi. Saya melihat pasukan negara negara mampu bersaing semula dalam perlawanan ketika ketinggalan 2-0 jika mereka berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti untuk merapatkan kedudukan. Lebih parah, pasukan negara membenarkan India menjaringkan gol ketiga mereka sebelum tamat saingan suku ketiga.

Jaringan ketiga itu memusnahkan peluang Malaysia untuk kembali bersaing kerana jelas bermulanya suku ketiga, Malaysia terpaksa bermain terbuka dan mengambil risiko untuk menjaringkan gol. Ini membuka ruang untuk India mengambil kesempatan menerusi serangan pantas untuk menjaringkan lebih gol akibat benteng negara yang terbuka. 

Dari sudut positif, peluang negara belum berakhir. Tidak ada apa yang perlu digusarkan kerana esok ruang kebangkitan terbuka luas.

Lupakan kekalahan dengan India. Baiki kelemahan, teruskan apa yang cemerlang, bangkitkan keyakinan dan semangat pasukan.

Kita pasti akan ke final juga jika kita menewaskan Korea dalam perlawanan terakhir saingan kumpulan Super 4's ini.

Hadiah menanti negara adalah sejarah yang bakal dicipta jika kita layak ke perlawanan akhir Piala Asia buat pertama kalinya.
 

Advertisement

Must Watch Video