Skip to main content

Rencana

Maaf Singapura...

20863248_1956843631255082_1299277117622439150_o.jpg
Pertembungan membabitkan Malaysia-Singapura tidak pernah gagal cetus reaksi luar biasa.

Sebut saja Singapura, terbayang seteru tradisi Malaysia dalam beberapa acara utama di saingan Sukan Sea khusus bagi penganjuran edisi ke 29 ini.

Laporan dari wartawan manis Nadi Arena, Amira Ibrahim, pada Rabu menggambarkan kemeriahan saingan peringkat kumpulan di Stadium Bukit Juara membabitkan skuad bola jaring negara dengan juara bertahan Sukan Sea 2015, Singapura pada Rabu.

Ia hanya saingan pada hari ketiga, namun kehadiran penyokong cukup luar biasa, sehingga ia mengimbau semula betapa hebatnya aksi Malaysia menentang Singapura di pentas final Sukan Sea 2015 lalu.

'Kami hanya pandang serius dengan kehadiran Singapura, mereka tidak hanya bertahan pada satu skil semata-mata.' Itu reaksi Penolong Jurulatih Aminah Ashaari dalam sesi latihan mereka beberapa bulan lalu.

Kemenangan 50-37 Malaysia ke atas Singapura pada hari ketiga membingitkan suasana di Stadium Juara, sekaligus memastikan pentas separuh akhir ketika aksi peringkat kumpulan masih berbaki menerusi pertembungan dengan Filipina pada Jumaat.

'Kecewa 2 tahun lalu hanya terubat jika Malaysia kembali merampas emas dalam penganjuran kali ini.' Itu reaksi majoriti pemain negara sebaik 12 senarai akhir pemain diumumkan pada Julai lalu menyaksikan bekas kapten negara Nurul Adha Abu Bakar tersingkir daripada senarai Sukan Sea.

Atmosfera luar biasa bersambung di Stadium Shah Alam di sebelah malam.

Bola sepak tidak pernah gagal sumbang gelombang semangat ingin menang membabitkan Malaysia dan Singapura yang turut dianggap sebagai musuh tradisi di atas padang.

Rata-rata rakan penulis tidak mahu ketinggalan menyaksikan aksi penting secara 'live' di Stadium Shah Alam sehingga ada yang pulang awal dari tempat kerja semata-mata ingin berada di Stadium Shah Alam tepat pada masanya.

Laungan semangat dan sokongan buat anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak surut biarpun 45 minit awal, skuad harapan ini seakan hilang punca dan lebih cemas, Singapura terlebih dahulu pimpin permainan menerusi Muhammad Amiruldin Asraf.

Kemasukan 2 pemain gantian di babak kedua, Nor Azam Azih dan N.Thanabalan berjaya menukar perlawanan kepada aksi yang lebih dramatik apabila masing-masing berjaya sumbang jaringan untuk padam penguasaan Singapura.

Kemenangan ke atas Singapura di Stadium Shah Alam cukup manis buat penyokong negara sehingga ada yang melabelkan ia lebih bermakna daripada kilauan emas pertama Malaysia menerusi sepak takraw bagi acara chinlone linking.

'Full time malaysia 2 - spore 1.. dramatic game.. lemah jantung..'

'Dengan keluasan Singapore yg xseberapa. Aku yakin bebudak temasik ni lg hebat main bola dalam ps4. Maklumla padang tak bnyk. Liga pun ntah ade ke tak.

TAPI...

Punyala liat anak buah OKS ni nak kalahkan dorang. Menang mmg menang la kan. Tapi ntahlah. Hmmm '

' SLEEP TIGHT!
Good Night Chu Kang '

Pelbagai kapsyen, perbagai reaksi daripada penyokong negara meluahkan pendapat masing-masing di media sosial membuatkan penulis tersenyum sendiri. Lucu pun ada !

Apa sekalipun reaksi mereka, apa sekalipun nada yang diluahkan, dalam hati rakyat Malaysia cuma satu, mereka hanya ingin melihat kejayaan pasukan kesayangan mereka. Tahniah anak muda harapan negara!!

Advertisement

Must Watch Video