RENCANA
Maaf, bukan Yoo Jae Suk tapi Joo Sae Hyuk
Yoo Jae Suk adalah hos terkenal untuk rancangan Runningman manakala Joo Sae Hyuk pula adalah satu nama yang asing buat segelintir. Namun, ritma nama kedua susuk ini seakan sama.
Joo Sae Hyuk bukanlah bintang K-Pop di Korea Selatan, namun kemunculannya sebagai atlet sukan telah memberikan dimensi baru dalam senario ping pong dunia, sehinggakan dia di gelar "Raja Pertahanan" dalam sukan ini.
Atas dasar itu, Sae Hyuk telah dijadikan idola buat pemain muda negara, Alice Chang Li Sian, yang baru-baru ini telah melakar sejarah apabila muncul pemain ping pong wanita negara yang pertama berjaya layak ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires pada Oktober.
Iklan
"Saya meminatinya kerana gaya permainan yang unik, meskipun bertahan, namun gaya itu yang mengangkatnya dan saya cuba untuk belajar bermain seperti itu" ujar Alice.
Kenyataan Alice itu berasas apabila pemain berusia 18 tahun ini kerap memukul bola dengan gaya " chopping ", ibarat memotong dan bola akan melantun perlahan ke arah pihak lawan, namun jika kerap diulang ia mampu jadi pendekatan yang membuahkan mata.
Berbalik kepada Sae Hyuk, dia pernah mengecapi kemahsyuran dalam sukan ping pong sebagai pemenang pingat perak untuk empat edisi Sukan Asia bermula 2002 sehingga 2014, begitu juga satu pingat perak di temasya Olimpik London 2012.
Dia juga antara pencabar terkuat buat jaguh dari China, Ma Long apabila mereka kerap bertemu baik di Kejohanan Dunia, Piala Dunia mahupun beberapa temasya sukan besar lain.
Tambah menarik, sejak 2006, Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) telah meletakkan Sae-Hyuk sebagai pemain paling konsisten kerana berada dalam kelompok ranking ke 20 terbaik dunia. Namun di usia sudah menginjak ke umur 38 tahun, Sae Hyuk ambil keputusan untuk bersara.
Alice mungkin sukar untuk melakar kejayaan sama seperti dilakukan Sae Hyuk, namun sekurang-kurangnya dia punyai aspirasi mahu menaikkan kembali sukan ping pong agar menjadi antara sukan popular di Malaysia.
"Saya tahu pencapaian kami di pentas antarabangsa hanya sederhana, tapi saya harap dengan kejayaan saya dan Javen layak ke Olimpik Remaja, ia dapat membuka mata buat semua pihak bahawa ping pong masih banyak berpotensi untuk dikembangkan"
Di Argentina nanti, Alice bakal ditemani rakan sepasukan, Choong Javen yang terlebih dahulu tempah slot ke temasya itu ketika saingan Road To Buenos Aires Zon Asia pada Mei sebelum Alice rebut tiket terakhir ketika Road To Buenos Aires Zon Oceania pada 11 Jun lalu. Selain acara perseorangan, mereka juga bakal mendapat beraksi dalam acara tambahan iaitu, berpasukan campuran.
" Saya betul-betul nak beraksi di Olimpik kali ini kerana saya tahu selepas ini saya tidak akan ada peluang lagi, dan kini saya sudah layak, saya nak cuba bersungguh-sungguh untuk membanggakan negara Malaysia"
Must-Watch Video