Skip to main content

Rencana

Liverpool empat tahun selepas ditertawakan

liv-cover_1.jpg
Perginya Liverpool ke Doha, Qatar minggu lalu bertemankan gelaran naib juara tiga kali Piala Dunia Kelab/Piala Antara Benua. Namun, pulangnya mereka dari sana semalam bersandarkan reputasi selaku juara kelab dunia yang baru.

Bayangkan, hanya empat tahun lalu, mereka adalah pasukan yang ditertawakan oleh khalayak bola sepak seperti disorot oleh akhbar The Liverpool Echo.

Pada satu hujung minggu di Anfield, Jurgen Klopp mengetuai pemain-pemainnya menunjukkan tanda terima kasih kepada penyokong di tempat duduk The Kop sejurus mereka mendapat gol penyamaan pada saat-saat akhir menerusi Divock Origi enam minit dalam masa pemberhentian untuk keputusan 2-2 dengan West Brom pada 14 Disember 2015.

Imej pemain-pemain sedang memberi pengiktirafan dengan bertepuk dan tunduk hormat kepada penyokong setia yang disebarluaskan ke seluruh dunia, segera mengundang reaksi bercampur-baur.

Netizen dalam media sosial memilih untuk mempersendakannya tentang bagaimana Liverpool – yang satu ketika sebuah pasukan perkasa – terpaksa meraikan perkongsian mata sekalipun dengan sebuah pasukan bawahan.

Mesej yang mahu diterapkan Klopp ketika itu terhadap peri pentingnya perpaduan di antara penyokong dan pasukan, langsung tidak diendahkan.



Dipercepatkan putaran waktu ke masa kini, tiada sesiapa di luar Anfield yang boleh mentertawakan Liverpool lagi, pastinya tidak pada ketika The Reds kini bergelar juara kelab dunia – ihsan kemenangan 1-0 ke atas Flamengo di Doha, awal pagi Ahad lalu -- yang hanya mampu diimpikan hampir kesemua pesaingnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Transformasi yang kini mengangkat Liverpool selaku pasukan paling digeruni di Eropah, harus satu manifestasi kepada segala kerja keras, kesabaran dan kepercayaan mereka untuk mengembalikan kecemerlangan silam.

Ia harus satu tempoh dua minggu yang sarat dengan peristiwa buat Liverpool. Didahului oleh kemenangan 2-0 di Salzburg, 11 Disember lalu, yang mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 16 Liga Juara-Juara, ia diwarnai dengan kejayaan mengikat Takumi Minamino pada harga £7.25 juta (RM39 juta).

Kemudian, Klopp pula mengesahkan lanjutan kontraknya sehingga 2024, yang segera disusuli penolong kapten, James Milner, melakukan yang sama.



Kemenangan dalam final Piala Dunia Kelab itu bertepatan sebagai ‘aising di atas kek’ buat sebuah pasukan yang pernah ditertawa dan diperolok-olokkan.

Tapi lihatlah siapa yang tertawa sekarang?

Imej yang segera bermain di fikiran ialah Klopp yang menampakkan barisan gigi putihnya – yang boleh saja diterjemahkan mengikut tafsiran masing-masing – sama ada sebagai berkongsi kegembiraan atau menyindir di tahap paling memedihkan.

Laman Liverpoolfc.com turut berkongsikan maklumat pasukan Merseyside itu kini layak memakai lencana keemasan Juara Dunia FIFA pada jersi mereka.

Namun, disebabkan terikat dengan peraturan tertentu, ia mungkin tidak dapat dilihat pada jersi setiap kejohanan yang mereka sertai.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), bagaimanapun, akan membenarkan Liverpool menggunakan lencana itu dalam Liga Juara-Juara musim ini dan musim depan.

Peraturan EPL pula mensyaratkan satu permohonan rasmi hendaklah dibuat bagi memaparkannya pada jersi sedia ada dalam perlawanan domestik.

“Pasukan juara boleh menggunakan lencana Juara Dunia FIFA dari hari ia menjadi juara sehinggalah final kejohanan edisi berikutnya,” kata jurucakap badan induk dunia itu.



Dan Liverpool harus akan memakainya dalam setiap perlawanan, bukanlah sangat terhadap pasukan lawan, tapi kepada pembenci yang pernah memperkecil dan mentertawakan mereka.

Klopp juga tidak harus dipersalahkan jika lebih banyak menyeringai selepas ini.

Advertisement

Must Watch Video