Skip to main content

Rencana

Liverpool bukan lagi terjatuh tapi tersembam

liv-cover-(1).jpg
Mentakrifkan merudumnya prestasi terkini Liverpool sebagai teramat pelik, juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya hanya boleh disimpulkan dengan satu perkataan – mengerikan.

Selepas memohon maaf sebelumnya kerana mempersendakan Liverpool sejurus kekalahan 0-2 kepada Everton, 21 Februari lalu, pengkritik Sky Sports, Gary Neville, tidak lagi berlapik dalam analisisnya terhadap pasukan musuh ketatnya itu.

“Ini bukannya Liverpool yang terjatuh tapi sudah tersembam,” katanya selepas The Reds tewas enam kali berturut-turut di halaman sendiri – kali ini 0-1 kepada Fulham, pasukan di zon relegasi, 0-1 kelmarin.

Barisan kendalian Jurgen Klopp itu, tambahnya, sudah hilang segala-galanya sebagai sebuah pasukan digeruni yang menyaksikan mereka mengakhiri penantian 30 tahun untuk bergelar juara musim lalu.



“Liverpool benar-benar menakjubkan (musim lalu) hingga mencapai satu tahap yang sukar dipercayai.

“Saya telah katakan beberapa minggu lalu yang mereka akan merosot sedikit selepas tiga tahun. Ini adalah tahun keempat dan sedikit kemerosotan sukar untuk dielakkan (selepas berada di puncak sekian lama).

“Tapi ini bukannya terjatuh, ini sudah tersembam. Mereka menjengkelkan dalam setiap perkara dan saya sendiri tidak pasti apakah bendanya,” katanya menerusi podcast Gary Neville yang dimuat naik selepas perlawanan.

Ketewasan kepada Fulham bukan sekadar menjadi rentetan enam kekalahan di Anfield, malah ia kini terlakar sebagai kemerosotan terburuk mana-mana juara EPL dalam sejarah.

Liverpool dijulang selaku juara musim lalu dengan himpunan 99 mata yang menakjubkan.

Sambil tidak ramai yang menjangkakan skuad Klopp itu mampu mengulangi jumlah berkenaan, harus hanya segelintir juga yang dapat menerima terjerumusnya mereka ke tahap ini.



Dibandingkan dengan saingan di peringkat ini musim lalu – detik apabila Liverpool baru mengalami kekalahan pertama kepada Watford di tempat lawan – merudumnya mereka ketika ini ternyata amat berlawanan.

Ketika itu, Liverpool sudah menghimpun 79 mata dengan hanya masing-masing seri dan tewas sekali untuk mencacatkan sedikit rekod sempurnanya.

Ketika ini pula, The Reds terperosok di tangga kelapan dengan hanya 43 mata – perbandingan 36 mata dengan perolehan mereka di tahap ini musim lalu.

Tidak pernah ada mana-mana juara EPL yang membuat terjunan bebas ke tahap serendah ini, tidak juga Leicester City yang mengalami kemerosotan besar semusim selepas mengejutkan ramai dengan muncul juara pada 2016.

Dalam pada itu, Neville masih menaruh sedikit kepercayaan kepada Klopp, berdasarkan pengalaman, kualiti dan keamatan yang dimilikinya, untuk segera mengubah nasib pasukan.

“Pemain-pemain Liverpool harus menghukum diri mereka sendiri. Anda tidak boleh melakukan apa yang dicapai mereka, dengan mara ke dua final Liga Juara-Juara, tanpa memiliki sebuah pasukan yang hebat.

“Tapi saat ini, detik ini… mereka telah hilang segala-galanya.

“Kelajuan permainan, keyakinan melangit, kesukaran Anfield buat pasukan pelawat, kesungguhan dan daya ketahanan mereka untuk menang… semua itu telah lenyap ketika ini,” kata Neville lagi.

Advertisement

Must Watch Video