Skip to main content

Rencana

Lindswell Kwok, si cantik dalam sukan wushu

lindwell.jpg
Wushu menutup tirai pada Selasa dengan kejayaan buat Malaysia, 6 emas, 5 perak dan 3 gangsa, prestasi yang jauh lebih baik ketika beraksi di Sukan SEA Singapura 2015, yang hanya membawa pulang 2 emas, 3 perak dan 4 gangsa.

Di dalam kejayaan itu, terdapat juga beberapa coretan manis, seperti Loh Jack Chang yang akan berkahwin dengan teman wanitanya November ini selepas menggondol 2 emas dalam acara Taijijian dan Taijiquan, Ho Mun Hua yang peroleh pingat emas pertamanya selepas 10 tahun mencuba dan pelbagai lagi warna-warni dalam kem Malaysia.

Tapi harus diingat, Sukan SEA ini juga adalah untuk meraikan kejayaan jiran-jiran di Asia Tenggara, dan atas dasar itu, tak salah kiranya untuk mengupas mengenai atlit-atlit negara jiran.

Lindswell Kwok mungkin asing buat penulis mahupun para pembaca tetapi tidak buat penggiat sukan wushu. Lindswell merupakan atlit dari Indonesia, namun begitu kehadirannya cukup menarik perhatian, baik media Indonesia sendiri, mahupun dari luar. 

Lindswell adalah antara atlit yang punyai rupa paras yang cantik bersaing dalam Sukan SEA kali ini. Banyak juga blog-blog yang memuat naik artikel atlit atlit cantik di rantau Asia Tenggara, dan nama Lindswell tersenarai sebagai salah satunya.

Di sebalik wajahnya yang ayu, dan pertuturannya yang lembut, dia punyai rekod pencapaian yang memberangsangkan di pentas antarabangsa. Lindswell merupakan Juara Dunia 4 kali, pemenang pingat perak Sukan Asia 2014, dan juga sudahpun memenangi 4 pingat emas dalam setiap edisi Sukan SEA yang disertainya sejak 2011 Palembang. Untuk edisi di Kuala Lumpur 2017, dia memperagakan aksi bertenaga dalam acara taijijian untuk meraih emas. 

Lindswell sudah pun berusia 26 tahun dan sebelum ini timbul desas-desas yang dia akan bersara pada 2017 kerana mengalami kecederaan. Namun wawancara bersama media Indonesia, dia menyatakan kesediaan untuk terus beraksi di Sukan Asia 2018, apatah lagi temasya itu akan berlangsung di Jakarta/Palembang.

“Latihan wushu tidak ada batasnya. Kami akan terus berkembang jika serius mempelajari teori dan falsafahnya. Semakin banyak belajar, semakin tahu, olahraga ini menjadi semakin menarik. Sampai umur enam puluh atau lapan puluh tahun, belajar wushu tidak akan selesai,” ujar Lindswell.

Mungkin ada banyak lagi atlit yang lagi cantik, namun ia hanyalah sebagai penghias warna-warni coretan Sukan SEA. Apa yang lebih penting adalah pencapaian yang dilakar setiap atlit di rantau ini. Oh sepekara lagi, mujurlah tiada kumpulan pemuda yang menjerit-jerit terpekik terlolong sehingga organ badan meletup dek kerana melihat kecantikan Lindswell beraksi tempohari.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video