Tiada perumpamaan yang sesuai untuk meletakkan betapa warna-warni nya dunia sukan pada minggu ini. Dari cerita perpindahan pemain, ke perlantikan ketua jurulatih baharu dan oh ya - satu lagi detik bersejarah dicatat keluarga Astro Arena! Ini dia lima detik pilihan saya untuk minggu ini:
5. Devil No More
Sebaliknya (izinkan saya berbahasa Inggeris sedikit), straight from the Devil’s den and into the fire!
Pada awal minggu ini, legenda Jerman Bastian Schweinsteiger yang juga merupakan “gelandangan” Manchester United disahkan berhijrah ke liga bolasepak di Amerika Syarikat dan akan beraksi bersama kelab Chicago Fire. Schweinsteiger sepanjang musim ini hanya pernah diberi kepercayaan sebanyak empat kali oleh Jose Mourinho, dan ramai peminat memang menjangka bahawa pemain berusia 32 tahun ini bakal meninggalkan Old Trafford.
4. Haria Zainal Haria
Baru-baru ini kita digemparkan dengan cerita pemecatan Ashley Westwood oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang. Siapa yang bakal mengisi tempat kosong kerusi panas ketua jurulatih terus menjadi persoalan. Banyak nama yang telah meniti bibir peminat namun akhirnya, penyokong Harimau Kumbang secara rasminya menerima berita tentang perlantikan Zainal Abidin Hassan.
Kejayaan Coach Zainal ketika membimbing pasukan Pahang dan pengalaman beliau ketika bersama pasukan Selangor musim lepas sudah pastinya akan memainkan peranan penting dalam tugasan mengendalikan bahtera Pulau Pinang. Selamat berjaya, coach!
3. Malaysia, Filipina…Seri Lagi
Secara jujurnya, jangkaan saya untuk perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Filipina tidaklah setinggi mana. Tipu lah kalau tidak mengharapkan kemenangan dan mengubah kedudukan ranking dunia tapi melihat kepada keadaan pasukan… Di bahagian pertahanan, saya rasa wajar dipuji. Di bahagian lain pula, terutama sekali di bahagian serangan, Malaysia masih tidak ada penyelesaian kepada masalah ketandusan striker berbisa.
Bak kata Nidzam Jamil, salah seorang pakar bolasepak di Astro Arena, kalau kita ada enam Safee Sali dan sembilan Amri Yahyah, selesai sudah masalah kita. Masalahnya Safee hanya seorang, dan Amri hanya seorang. Sampai bila kita nak bergantung kepada mereka sahaja? Hai striker muda, di manakah anda semua?
2. Tan Sri Annuar Musa Tarik Diri
Kongres, kongres dan kongres! Memang itu lah topik paling hangat sepanjang tahun ini.
Dua hari sebelum Kongres FAM ke-53 diadakan, satu-satunya pencabar TMJ iaitu Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada pencalonan justeru bayangan kita terhadap siapa yang bakal menerajui FAM pada Sabtu ini menjadi lebih jelas.
Nak tahu lebih lanjut mengenai Kongres FAM ke-53, sila pastikan anda berada di depan kaca televisyen pagi esok kerana Nadi Arena khas akan menyampaikan laporan komprehensif dan terkini secara langsung bermula jam 10 pagi.
1. Bola@Mamak LIVE di Restoran Hakim, Shah Alam
Bila bercerita tentang Bola@Mamak, sudah pastinya yang bermain di fikiran adalah gelagat Hafizal Hamad @ Gaban bersama ahli panel yang membincangkan tentang isu-isu terkini bolasepak tempatan.
Minggu ini antara topik yang disentuh adalah perlawanan persahabatan Malaysia lwn Filipina - dan juga Kongres FAM ke-53. Seperti biasa, banyak hujah yang dikongsikan tapi istimewanya Bola@Mamak minggu ini adalah kerana bukan satu sahaja panel yang meluahkan pandangan masing-masing tetapi dua meja disediakan untuk dua barisan panel.
Lagi ramai ahli panel, lagi banyak point yang disampaikan. Bukan mudah bercerita tentang bolasepak sambil diperhati oleh pengunjung Restoran Hakim tau! Tapi Alhamdulillah, episod ini dijayakan atas kerjasama semua pihak yang terlibat.
Minggu ini memang hangat dan padat dengan pelbagai cerita sukan - tapi persoalan terbesarnya sekarang adalah “ke mana hala tuju bolasepak Malaysia di bawah pimpinan baru nanti?”
Tak sabarnya nak tunggu hari Sabtu!