Skip to main content

Rencana

Liatnya rezeki bola sepak kita

hamidin-amin.jpg
Pada hari yang sama Datuk Hamidin Mohd Amin menyimpulkan skuad B-22 negara gagal layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 2020 sebagai “tiada rezeki”, China pula mengumumkan satu rancangan jangka panjang yang menyasarkan Piala Dunia.

Mungkin secara kebetulan, bola sepak Malaysia akhir-akhir ini sering diperbandingkan dengan China – apatah lagi Negara Tembok Besar berkenaan yang menyingkirkan skuad Datuk Ong Kim Swee itu dalam kejohanan kelayakan di Stadium Shah Alam 22-26 Mac lalu.

Namun, perbezaannya sangat ketara.

Tatkala presiden FAM itu seakan-akan menyalahkan takdir sebagai alasan kegagalan, Presiden China, Xi Jinping, berikrar untuk menjadikan China sebuah kuasa bola sepak dunia bermula dengan langkah paling asas untuk menghantar beribu-ribu kanak-kanak ke sekolah tadika yang berfokuskan bola sepak.

Dalam rancangan yang akan mula dilaksanakan tahun ini, agensi berita Xinhua memetik pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran China sebagai berkata setiap wilayah di peringkat daerah akan mempunyai 50 hingga 200 tadika seumpamanya untuk tujuan berkenaan.

Pengenalan langkah itu adalah sebagai menyusuli satu pengumuman Persatuan Bolasepak China (CFA) pada Oktober tahun lalu bahawa ia bercadang memanfaatkan sejumlah 10,000 sekolah tadika di seluruh negara berpenduduk 1.4 bilion orang itu untuk melaksanakan rancangan berkenaan – ke arah merealisasikan impian Presiden Xi agar China menganjurkan dan menjuarai Piala Dunia.

Ia menepati satu pepatah lama China yang berbunyi: “Satu perjalanan berjarak 1,000 batu bermula dengan satu langkah pertama.”

China – kini di tangga ke-72 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) -- hanya pernah sekali layak ke Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun di mana mereka gagal meraih sebarang mata atau membuat sebarang jaringan.

Barangkali ia bukan satu kesilapan untuk mengandaikan rancangan jangka panjang mereka itu sebagai satu gagasan yang perlu dijayakan untuk kesudahannya nanti berserah kepada ketentuan rezeki.

Juga tidak salah untuk kesudahannya menyalahkan sesuatu kepada “tiada rezeki” andai segala perancangan rapi sudah dilaksanakan dan segala usaha sudah dicurahkan hanya untuk gagal sekalipun sudah begitu hampir dengan matlamat.

Masih terngiang-ngiang di telinga perbandingan yang dibuat Kim Swee selepas skuadnya tidak layak ke Thailand – yang juga saingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 -- gara-gara keputusan seri 2-2 dengan China itu:

“Kita berdepan dengan sebuah pasukan yang sudah melakukan persiapan selama tiga bulan (sedangkan) kita hanya berlatih selama 20 hari.”

Rezeki, daripada satu sudut pandangan, ialah melakukan usaha dan ikhtiar secukupnya untuk kesudahannya berserah kepada ketentuan dan reda dengannya.

Daripada sudut berbeza pula, rezeki umpama mengharapkan tuah datang menyapa di sebalik melakukan persiapan ala kadar, kegagalan menang besar ke atas Laos dan ketidakupayaan mengekalkan pendahuluan 2-1 ke atas China untuk kesudahannya menawarkan ungkapan “tiada rezeki” sebagai tidak lebih daripada alasan menutup kegagalan.

Harus lebih tepat untuk mengandaikan kita sebenarnya “menolak rezeki” pada ketika Malaysia berkelebihan sebagai tuan rumah dan badan induk bola sepaknya pula tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjadikannya mandatori buat pasukan negeri dan kelab melepaskan pemain yang terpilih menyertai skuad B-22 negara melakukan persiapan lebih panjang dan rapi.

Kini bertegang urat menolak ia sebagai kegagalan pelan jangka panjang F:30 pada halangan pertamanya lagi, FAM menghalakan sasaran layak ke final Sukan SEA Filipna 2019 dan Piala AFF 2020 – apabila Australia dijangka membuat penampilan sulung yang akan menyukarkan lagi keadaan.

Rekod memahatkan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal menjulang Piala AFF buat kali pertama dan terakhir menentang Indonesia pada 2010 sambil Kim Swee dan barisan mudanya dikalungkan ibu segala pingat emas Sukan SEA, juga dengan mengecewakan Indonesia, di hadapan penyokong fanatik republik itu pada 2011.

Cuma, selama hampir sembilan tahun berikutnya, kita ketandusan kejuaraan – dengan kekalahan dalam final Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan final Piala AFF 2018 dengan berdepan Vietnam secara timbal-balik – mengiyakan pendapat bahawa kita "tiada rezeki" yang berpanjangan.

Moga-moga ada rezeki kita kali ini dalam kedua-dua kejohanan serantau itu tahun ini dan tahun depan apakala pasukan-pasukan seperti China, Vietnam dan Thailand lebih cenderung kepada Piala Dunia, Piala Asia, Sukan Olimpik dan Kejohanan AFC yang menawarkan pentas lebih besar.

Advertisement

Must Watch Video