RENCANA
Langkah selamatkan bola sepak Malaysia bermula dalam Liga M
Bola sepak negara kita sama-sekali tenggelam dalam arus antarabangsa. Ini satu kenyataan yang perit untuk ditelan tetapi lebih baik daripada sekadar manis di bibir untuk kita menceritakan kehebatan di pentas Liga Malaysia (Liga M) semata-mata.
Contoh paling mudah, kita boleh lihat acuan liga-liga utama di Eropah. Laliga, yang didominasi pasukan seperti Barcelona, menyaksikan Sepanyol pernah menguasai pentas dunia dengan permainan tiki-taka mahupun 'total football'.
Begitu juga dengan Itali yang terkenal dengan kekebalan benteng hasil sistem Catenaccio yang dibangunkan.
Iklan
England pula semakin berani mempertaruhkan pemain muda yang sedang menikmati perjalanan cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.
Kebelakangan ini, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mula mengetengahkan generasi baru yang gemar mengawal bola dan tidak terlalu bergantung lagi kepada hantaran jauh.
Pasukan di Amerika Selatan seperti Chile, Brazil dan Argentina pula menyesuaikan permainan dalam liga Eropah menerusi kemahiran dan menggelecek bola.
Pemain-pemain ini menuai hasil daripada budaya dalam liga itu sendiri.
Agak malang, generasi penyokong Harimau Malaya pada hari ini disajikan bukan sahaja dengan keputusan buruk, malah corak permainan perit untuk diterjemahkan dalam bentuk perkataan.
Sehubungan itu, Liga M juga harus mempunyai identiti tersendiri sebelum kita mahu memperkenalkan bola sepak kita kepada dunia luar.
Untuk itu, ada baiknya kita menyingkap sedikit-sebanyak perjalanan Liga M kita, bak kata Hafizal Ahmad, 'Ini rumah kita, ini liga kita'.
Anda boleh rujuk kompilasi-kompilasi kekasaran Liga M dalam beberapa tahun ini di laman Youtube. Dalam final Piala Malaysia 2017, misalnya, statistik 17 kekasaran pada separuh masa pertama boleh dijadikan rujukan apabila secara puratanya, satu kekasaran dilakukan dalam setiap 2.6 minit permainan dilangsungkan.
Jangan kata pegang, silap hari bulan menjerkah pengadil juga satu kesalahan dalam liga besar.
Justeru, pemain juga harus bertanggungjawab untuk membantu pengadil dalam memastikan kelancaran permainan.
Pening juga pengadil untuk mengawal 22 pemain di atas padang kalau sesuatu insiden berlaku, belum lagi kalau melibatkan campur tangan individu di bangku simpanan.
Rempuhan keras dan seumpamanya juga bukan sahaja mencerminkan disiplin pemain di atas padang, malah menjejaskan kerancakan permainan dan karier pemain itu sendiri.
Macam mana pasukan mahu mengamalkan corak hantaran pendek kalau fikir nak jaga kaki sahaja, padahal itulah punca rezeki utama dalam karier mereka.
Jika budaya ini tidak dibendung, ia akan terbawa-bawa dalam kancah antarabangsa.
Lihat sahaja dalam pertemuan pertama kelayakan Piala Asia 2019 dengan Korea Utara di Buriram, Thailand, Nelo Vingada mengakui dua daripada empat gol yang dihasilkan pihak lawan berpunca daripada kesilapan Harimau Malaya yang memberikan sepakan percuma yang tidak sepatutnya.
Dengan kelebihan fizikal yang dimiliki, Korea berjaya memanfaatkannya.
Bahkan, dalam empat perlawanan terakhir, skuad negara juga mengutip tiga kad merah.
Oleh itu, elok juga kalau perkara seumpama ini ditekankan sempena musim baru Liga M nanti.
Must-Watch Video