Skip to main content

Rencana

La ultima ciao (selamat tinggal yang terakhir)

sala-cover4.jpg
Emiliano Sala mungkin sudah mengucapkan "La ultima ciao," atau "selamat tinggal yang terakhir" buat rakan sepasukannya di FC Nantes pada petang Isnin lalu.

Namun, ahli keluarga dan rakan-rakan yang bersimpati dengannya belum mahu merelakan itu berlaku --sekurang-kurangnya tidak sehingga mayatnya ditemui dan kematiannya berpusara.

“Saya tahu mereka (Emiliano dan juruterbang, Dave Ibbotson) masih hidup dan sedang menanti kita,” kakaknya, Romina, dipetik sebagai berkata di antara esak tangis sejurus gerakan mencari dan menyelamat di Selat Inggeris berhampiran Kepulauan Channel diberhentikan selepas 72 jam, malam Rabu lalu.



Sala, 28, bersama juruterbang, Ibbotson, dilaporkan hilang sejurus pesawat ringan Piper PA-46 yang dinaiki mereka dari Nantes didapati hilang daripada radar dan dikhuatiri terhempas di Selat Inggeris, malam Isnin lalu.

Penyerang berketinggian 6 kaki 2 inci itu baru memeterai perjanjian tiga setengah tahun bersama Cardiff City dan dijadual menyertai latihan pasukan barunya itu keesokannya.

“Tolong, tolonglah… saya merayu kepada anda jangan berhenti mencari. Mereka masih bernyawa.

“Emiliano adalah seorang pejuang. Saya tahu dia tidak akan mengalah,” kata Romina. “Lagipun, kita tidak mempunyai kepastian mengenai apa-apa. Belum ada apa-apa yang ditemui.”

Rayuannya harus sudah didengar dari Argentina hingga ke merata Eropah hinggakan yang terbaru,  Presiden Argentina, Mauricio Macri, telah mengarahkan Menteri Luar, Jorge Faurie, agar menggunakan saluran diplomatik dengan Britain dan Perancis supaya gerakan mencari Sala diteruskan.

Cuma, ada satu halangan.

Ketua Jabatan Syahbandar Guernsey, Kapten David Barker, berkata pihaknya sudah mengambil keputusan yang sukar untuk menamatkan usaha mencari itu malam Rabu lalu, dan menyerahkan kepada kapal-kapal yang melalui selat berkenaan andai ternampak serpihan atau apa-apa tanda daripada pesawat malang itu.

Keputusannya itu didasarkan kepada tiada apa-apa yang ditemui dalam gerakan mencari selama 72 jam sebelumnya yang meliputi kawasan laut seluas 1,700 batu persegi.

Lagipun, pesawat turbin tunggal dengan enam tempat duduk yang dinaiki Sala itu dirakamkan radar kali terakhir terbang berdekatan Hurd's Deep, sebuah kawasan ‘lembah’ di dasar laut Selat Inggeris yang mempunyai kedalaman sehingga 100 meter.

Meskipun tidak dinyatakan Kapten Barker, ia bermaksud sebarang gerakan mencari pada peringkat ini adalah sia-sia, sekadar membazirkan biaya dan tenaga.

“Untuk menemui apa-apa di kedalaman seperti itu adalah teramat sukar,” katanya, “Tapi kami tidak dapat mengatakan secara pasti jika pesawat itu ada di dasar laut berkenaan.”

Ketua Pegawai Pasukan Pencarian Udara Kepulauan Channel, John Fitzgerald, turut menambah sesiapa saja yang paling cergas pun hanya dapat bertahan selama beberapa jam dalam kedinginan air laut di kawasan itu.

Tidak berpuas hati dengannya, sahabat kepada keluarga Sala, Martin Molteni, mengumumkan untuk meneruskan usaha mencari dengan menggunakan khidmat sebuah syarikat penyelamat swasta sejurus mendapat kebenaran pihak berkuasa British.

Serentak dengan itu juga, tanda pagar #NoDejenDeBuscar (#JanganBerhentiMencari) digunakan ramai tokoh bola sepak untuk mendesak pihak berkuasa supaya menyambung semula gerakan mencari Sala sehingga suatu bentuk pengakhiran ditemui.



Mendapat sokongan rakan senegara, termasuk Diego Maradona, Lionel Messi, Sergio Aguero, Nicolas Otamendi dan Gonzalo Higuain, desakan itu segera disertai ramai yang lain.

"Harapan tidak pernah mati," kata Maradona, salah seorang penyokong kuat kepada kempen tanda pagar #NoDejenDeBuscar (#JanganBerhentiMencari).

“Selagi masih terdapat kemungkinan, sekalipun harapan yang tipis, saya mohon #NoDejenDeBuscar,” kata Messi pula.

“Kami tidak mahu berputus asa, kami mahu terus berpaut kepada harapan,” sambung Aguero sambil rakan sepasukan City, Nicolás Otamendi, menciapkan: “Masih ada harapan untuk menemui mereka masih hidup. #DoaUntukSala.”

Harapan itu, bagaimanapun, semakin tipis dengan setiap minit yang berlalu, dengan "La ultima ciao" daripada Sala semakin jelas kini.

Advertisement

Must Watch Video