Skip to main content

Rencana

Koeman bina empayar di Goodison Park

koeman_everton-768x432.jpg

Everton dilihat begitu serius dalam membina semula pasukan bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan yang bakal bermula kira-kira sebulan lagi.

Pengendali, Ronald Koeman, membuktikan dia benar-benar mahu mencabar kejuaraan EPL ataupun setidak-tidaknya menamatkan kempen musim depan dalam kelompok enam teratas.

Tidak hairanlah dia sanggup meninggalkan Southampton sebelum ini selepas tidak bersetuju dengan polisi kelab yang sewenang-wenangnya melepaskan pemain utama pasukan.

Apa yang menarik, Koeman cuba mencipta revolusi di Goodison Park menerusi kombinasi pemain muda dan juga berpengalaman.

Selepas mendapatkan khidmat penjaga gol nombor satu skuad bawah 21 tahun England, Jordan Pickford, Koeman meneruskan misinya dengan mendapatkan empat lagi pemain yang telah membuktikan kredibiliti bersama pasukan masing-masing.

Kehadiran Michael Keane, Sandro Ramirez serta dua kapten finalis Liga Europa musim lepas, Wayne Rooney dan Davy Klaassen, cukup untuk mengingatkan pesaing lain bahawa EPL kini bukan sekadar melibatkan perseteruan enam pasukan teratas musim lalu.



Rooney dan Keane merupakan dua bekas pemain United daripada era yang berbeza, namun impak yang bakal dibawa sudah tentu memberikan kesan besar kepada Koeman.

Begitu juga dengan Ramirez dan Pickford yang mempamerkan aksi memukau di sepanjang Kejohanan Eropah B-21 baru-baru ini ketika mewakili Sepanyol dan England.

Penambahan lima muka baru jelas masih belum memuaskan hati Koeman yang benar-benar mahu mencipta revolusi bersama Everton.

Dana GBP75 juta (RM414 juta) hasil penjualan penyerang nombor satu Everton musim lalu, Romelu Lukaku, ke Manchester United sudah tentu mahu dieksploitasi sehingga ke tahap maksimum.
Nadi utama Swansea City, Gylfi Sigurdsson, dan penyerang Arsenal, Olivier Giroud, merupakan buruan seterusnya untuk tiba ke Goodison Park.

Harus diingat, sebelum jendela perpindahan dibuka lagi, Everton telah pun dibanjiri oleh pemain-pemain muda yang berjaya menarik perhatian banyak pihak.

Ross Barkley, Ademola Lookman, Mason Holgate, Tom Davies serta Muhamed Besic masing-masing masih belum melebihi usia 25 tahun.

Ditambah dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh bintang seperti Leighton Baines, Ashley Williams, Morgan Schneiderlin, Kevin Mirallas dan Phil Jagielka, musim 2017/18 pastinya akan menyaksikan pentas EPL menjadi lebih sengit.



Koeman tentu tidak sabar untuk memulakan aksi pemanas badan sebelum bermulanya saingan liga yang sebenar pada bulan depan.

Buat peminat bola sepak Inggeris, bersiap sedia kerana anda bakal disajikan dengan satu lagi pasukan yang mampu mencabar kejuaraan liga musim depan.

 

Advertisement

Must Watch Video