RENCANA
Klopp memalukan? Eh tak lah!
Setiap penyokong Liverpool harus berasa malu dengan Jurgen Klopp.
Itu tajuk utama artikel oleh David Cullinan dalam laman web www.ccn.com gara-gara pengurus The Reds itu bersikap acuh tak acuh terhadap perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA menentang Shrewsbury Town di Anfield bulan depan.
Dikecewakan keputusan seri 2-2 awal pagi semalam di sebalik mendahului 2-0, Klopp mengumumkan untuk hanya menurunkan pasukan muda – tanpa kehadiran dirinya mahupun mana-mana pemain pasukan utama -- sebagai mencerminkan pendiriannya untuk tidak mengambil serius perlawanan timbal balik berkenaan.
Iklan
Ia segera menimbulkan perdebatan sehingga penyokong Liverpool sendiri nampaknya berbelah-bahagi hingga ada yang menyimpulkan ia menunjukkan rasa kurang hormat juara dunia itu terhadap kejohanan tertua tersebut – sejak 1871.
Satu tinjauan pendapat oleh laman ‘This Is Anfield’ dalam kalangan 4,000 penyokong menerusi Twitter, mendapati 53.2 peratus menyokong pendirian Klopp itu sambil lebih 15 peratus yang lain sangat tidak bersetuju dengan berpendapat Liverpool harus lebih menghormati kejohanan kalah mati itu.
Bukan menghairankan juga apabila Persatuan Bolasepak England (FA) melahirkan rasa “terkejut dan kecewa”.

Dalam pada itu, ia bukanlah satu perkembangan yang luar biasa.
Segala-galanya bermula dengan saingan Piala EFL apabila pasukan seperti Liverpool mula menampilkan pasukan di bawah keupayaan sebenar – pasukan mudanya diaibkan 5-0 oleh Aston Villa dalam suku akhir 18 Disember lalu -- atas alasan “penggiliran pemain”, sesuatu yang menular kepada Piala FA pula.
Tindakan terbaru Klopp itu, bagaimanapun, bukannya tidak beralasan.
Pertama, dia kecewa diikat pasukan liga divisyen tiga, Shrewsbury, yang seharusnya mudah dimenangi mereka dan kedua, rehat secukupnya lebih dipentingkan buat pasukan utama yang sedang meniti landasan untuk menamatkan penantian 30 tahun bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat julung-julung kalinya.
Di samping itu, pengurus berkenaan memberi alasan dia hanya mematuhi arahan FA supaya menghormati tempoh rehat musim sejuk dengan tidak membabitkan pemain dengan perlawanan persahabatan antarabangsa atau sebarang aksi kompetitif – Piala FA tidak terkecuali.
Namun, ada pihak yang menempelak Klopp bahawa untuk mengelakkan kemungkinan itu, maka pasukannya sepatutnya memanfaatkan peluang bagi memenangi pertemuan pertama dengan Shrewsbury itu. Malangnya mereka terikat seri dan perlu bermain dalam aksi timbal balik dalam tempoh rehat berkenaan.

Penulis thisisanfield.com, Steven Scragg, dalam mempertahankan Klopp pula, menyifatkan keputusannya sebagai “niat yang betul” tapi “cara pelaksanaan yang salah”.
Mengandaikan dirinya di tempat Klopp, dia juga akan mengorbankan peluang mengejar Piala FA demi menjulang kejuaraan liga buat kali ke-19 dan yang pertama dalam EPL yang dijenamakan semula pada 1992.
Ia bukanlah satu situasi yang memuaskan, katanya. Dalam pada itu, ia juga bukan sesuatu yang boleh dipersalahkan sepenuhnya kepada pengurus Liverpool itu.
Ada juga pendapat bahawa pasukan yang bagus harus memburu semua kejuaraan yang menjadi rebutan tanpa mendiskriminasikan mana-mana.
Anda bagaimana?
Must-Watch Video



