Skip to main content

Rencana

Klopp dan dongeng Liverpool takluki dunia

kloppcover.jpg
Untuk memahami bagaimana Liverpool sampai ke mercunya kini dengan menjadi kelab Inggeris pertama menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab – “the big three” -- dalam tahun yang sama memerlukan semacam satu ulang tayang.

Dan ia harus berkisar kepada mesyuarat pertama jurulatih berbangsa Jerman itu bersama pasukan yang meletakkan asas kepada rentetan kejayaan menakjubkan tahun ini.

Meminjam perumpamaan yang digunakan Klopp sendiri, Liverpool yang dikemudinya “sudah mendarat di bulan”.

Perwatakan barisan bimbingannya boleh disorot kepada mesyuarat pertamanya selaku pengurus dengan pemain pada minggu kedua Oktober 2015 apabila dia menghimpunkan mereka dalam bilik media di Melwood dengan memperincikan apa yang dituntutnya daripada mereka.

“Kita berpeluang untuk melakar sejarah bersama-sama,” katanya ketika itu seperti dilaporkan akhbar The Independent, dengan menggunakan singkatan cogan kata “T.E.A.M” yang diperkenalkan jurulatih dari Jerman itu.

Terrible to play against, Enthusiastic to meet challenges, Ambitious every day and Mentally strong machines – Klopp menggariskan keperluan menjadikan Liverpool sukar dihadapi, bersemangat mendepani cabaran, bercita-cita besar setiap hari dan mental mereka sentiasa kuat.

Berselang empat tahun dari detik itu, Liverpool meraih hasilnya dengan menjulang trofi Piala Dunia Kelab buat julung-julung kalinya ihsan kemenangan 1-0 ke atas Flamengo di Doha, Qatar awal pagi Ahad lalu yang membuat kata-kata awal Klopp itu kembali terngiang-ngiang.



Benarlah Liverpool hari ini sukar dihadapi, bersemangat memburu kemasyhuran, terus bercita-cita untuk menjadi bertambah baik hingga 11 mata mengatasi Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil Jordan Henderson dan rakan-rakan memiliki kekuatan mental yang sukar diruntuhkan.

Dinafikan satu sepakan penalti selewat minit ke-91 pertemuan dengan Flamengo itu, Liverpool tidak mudah goyah untuk Roberto Firmino memberikan sentuhan penyudah dalam masa tambahan lapan minit kemudian sebagai menyerlahkan otak jenis apakah yang dimiliki mereka.

Ringkasnya, Liverpool sudah menepati apa yang dibayangkan dan dituntut Klopp dahulu tapi manisnya kejayaan juga tidak mungkin hadir tanpa mereka lebih dahulu menelan pahit kegagalan.

Barangkali kita mudah terlupa kekalahan mereka menerusi penentuan penalti kepada Manchester City dalam final Piala Liga 2016, tunduk kepada Sevilla dalam final Liga Europa beberapa bulan kemudian dan ditundukkan Real Madrid dalam final UCL 2018.



Terlepas kejuaraan EPL dengan perbezaan hanya satu mata dengan City musim lalu, turut sekadar mengukuhkan lagi azam dan iltizam mereka.

“Anda perlu tewas besar untuk menyedari anda bukan pihak yang kecundang,” kata Klopp kepada The Independent. “Anda menerimanya sebagaimana ia berlaku tapi anda masih boleh menjadi pemenang.

“Ciri-ciri inilah yang menjadikan kami lebih kuat dan saya gembira memiliki kumpulan pemain ini. Saya mengekalkan pemain-pemain ini bersama-sama kerana mereka telah melalui pelbagai pahit getir.”

Jelas sekali Liverpool telah meraih pulangan kepada pembelian besar tahun ini pada Virgil van Dijk, Alisson dan Fabinho tapi ia harus satu kesilapan jika memperkecilkan sumbangan pemain yang menjadi penanda aras seperti Henderson dan James Milner di samping pemain gantian, Divock Origi, Xherdan Shaqiri, Joe Gomez, Alex Oxlade-Chamberlain, Naby Keita dan Adam Lallana sekalipun.

Pada Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold, The Reds turut berbangga memiliki pertahanan sayap terbaik di England kalaupun tidak di Eropah. Bersama Sadio Mane, Mohamed Salah dan Firmino di barisan depan, haruskah mereka tidak dicemburui.

“Bintang sebenar kami adalah seluruh pasukan secara kolektif,” ujar penolong jurulatih, Pep Lijnders, yang tidak bersetuju mana-mana individu dalam pasukan dilebih-lebihkan daripada yang lain.

Berbalik kepada mesyuarat pertamanya itu, Klopp menghimpunkan keseluruhan staf di pusat latihan mereka itu serta meminta mereka memperkenalkan diri di samping menyatakan peranan masing-masing.

“Dalam mesyuarat itu, dia mewujudkan tanggungjawab kami kepada satu sama lain, tanggungjawab untuk beraksi baik di samping menekankan ‘semua orang bertanggungjawab ke atas segala-galanya’,” cerita Lijnders lagi.

Semangat perpaduan yang erat kekal menjadi sumber kekuatan sambil Liverpool berazam untuk menamatkan kemarau 30 tahun bagi gelaran EPL dan pada masa sama mengekalkan status raja di Eropah.

Dan mereka semua, seperti yang sering ditekankan Klopp, sedang mencipta sejarah bersama-sama.

Advertisement

Must Watch Video