Pada 1 September 1998, mesyuarat pengurus-pengurus pasukan kontinjen Malaysia merumuskan prospek pingat negara sebagai 6 emas, 6 perak dan 11 gangsa pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur.
Kesudahannya, kontinjen negara mengumpul 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa. Bayangkan lonjakan saujana yang dilakukan memandangkan pencapaian terbaik sepanjang tempoh penyertaan negara hanya dua emas.
Tiga tahun kemudian, penulis mendedahkan secara eksklusif di akhbar The Malay Mail, Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran 80 emas untuk Sukan SEA 2001 – kali terakhir negara menjadi hos temasya sukan berskala besar.Akhirnya Malaysia muncul juara keseluruhan dengan mengutip 111 pingat emas.
Bagi generasi X dan Y yang terlalu muda untuk mengetahui sejarah dua temasya itu, pemangkinnya sudah tentu Projek Jaya '98 yang diilhamkan oleh MSN.
Selepas Malaysia menewaskan Adelaide untuk diberi hak penganjuran Sukan Komanwel 1998, cabaran utama adalah untuk memastikan kontinjen negara menghasilkan keputusan di gelanggang agar maruah negara selaku hos pertama dari Asia tidak tercalar.
Maka lahirlah Jaya’98 yang dilancarkan pada 1993, seiring pula dengan pelantikan Ketua Pengarah MSN baharu, Datuk Wira Mazlan Ahmad, yang menggantikan Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim.
Bermulalah episod baharu dalam arena sukan negara. Jaya’98 disusuli dengan Gemilang 2001 dan 2002, AsiaComm 2006, Cabaran 2010 dan Road to London 2012. Kini ada program Kita Juara dan Podium.
MSN bertindak selaku penyelaras bagi meringankan bebanan persatuan sukan kebangsaan yang berdepan kesukaran mencari dana untuk menghidupkan aktiviti.
Biar apapun nama program yang diberi, latihan atlet secara terancang dalam tempoh yang panjang serta bersistematik, saintifik dan bersepadu mengikut kitaran empat tahun Olimpik memberi kesan positif.
Temasya Sukan SEA 2001 sebenarnya membawa satu anjakan besar.
Sejurus kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan mengutip 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa, Mazlan selaku Chef-de-Mission menulis dalam kolumnya dalam The Malay Mail bahawa Sukan SEA bukan lagi tumpuan Malaysia.
Proses ke arah mengutamakan Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik bermula, namun program Kita Juara yang diwujudkan untuk mengulangi pencapaian 2001 harus dianggap penting sebagai kelompok asas yang boleh dibentuk mengisi program elit Podium.
Ini yang ditekankan apabila Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, dipelawa ke program Dengan Izin baru-baru ini.
Jefri menjelaskan seramai 829 atlet mewakili 38 sukan kini berada dalam fasa kedua program Kita Juara.
Kriteria paling rendah untuk seorang atlet disenarai dalam Kita Juara adalah menyamai sekurang-kurangnya pencapaian pemenang gangsa Sukan SEA Singapura tahun lalu.
Kelompok teras tentunya pemenang emas edisi 2015, atlet dengan ranking lapan terbaik Asia, 16 terbaik dunia pemenang kejohanan remaja Asia dan Dunia serta juara Sukma.
Antara atlet elit yang tersenarai termasuk perenang Khoo Cai Lin dan Welson Sim, Loh Zhiayi (terjun), Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Adiq Hussainie Othman (berbasikal lebuh raya), Bibiana Ng dan Johnathan Wong (menembak – pistol), dua pakar lompat tinggi Nauraj Singh dan Lee Hup Wei (olahraga) serta beberapa individu bergelar VVIP.
Antara 38 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan SEA tahun depan adalah olahraga, renang, badminton, bola sepak, berbasikal, pencak silat, pelayaran dan menembak membabitkan sejumlah gelanggang di sekitar Lembah Klang dan beberapa lokasi lain.
Jadi apakah sasaran pingat kontinjen negara?
Jika berlandaskan sejarah terdahulu, kontinjen negara harus mengatasi jangkaan.
Rencana
Kita Juara
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena