Jika diberi pilihan sama ada berhadapan pihak lawan di pentas saingan mahupun pujian di laman sosial, penulis tahu apa jawapan yang dipilih pemilik nama penjaga gol negara, Khairul Azhan Khalid.
Kembali membuka mata penyokong negara, pemain ini yakin beraksi selepas melewati dua aksi persahabatan dengan Maldives dan Tajikistan, selain cemerlang dalam pertemuan dengan Thailand bagi aksi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia tempoh hari.
Khairul Azhan kembali ke pangkuan skuad negara dengan pengalaman yang mematangkannya.
Pernah dipuji tinggi dan pernah berada dalam kedudukan yang terumbang ambing, dia mengakui perlu bijak kali ini.
Selepas kali terakhir bersama skuad negara ketika era kejurulatihan Nelo Vingada, nama Khairul Azhan bukan sahaja hanyut di pentas negara malah dia juga terumbang ambing dalam saingan di pentas domestik.
"Saya tahu, prestasi tidak konsisten jadi punca pengendali negara hilang keyakinan ke atas diri saya, kali ini saya tidak akan benarkan ia berlaku," katanya.
Kemunculan semula Khairul Azhan, cetus rasa bercampur baur.
"Sejujurnya saya amat takut dengan pujian, kerana itulah yang pernah membuatkan saya lupa diri satu ketika dulu."
Walaupun belum pasti apa keputusan akhir ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, berhubung siapa yang akan menjaga gawang negara, penjaga gol Selangor itu melaungkan semangat untuk sekali lagi pamer aksi terbaik andai diberi peluang.
Kredit foto: FAM
Fina Nasrom
Mon Nov 18 2019