Skip to main content

Rencana

Ketidaktentuan saingan EPL tetap jadi tarikan (bhg 1)

chelsea.jpg
Andai dibuat perbandingan, ia harus tidak banyak keluarbiasaannya tetapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang membuka tirainya hari ini lazimnya dianggap liga terbaik di planet ini gara-gara satu sebab – ketidaktentuan keputusan perlawanan-perlawanannya.

Barangkali tiada liga bola sepak lain di dunia ini yang akan mendapati sebuah pasukan bermatian-matian mengelakkan penyingkiran daripada satu segi tetapi menghadirkan masalah besar kepada pasukan dalam kelompok teratas daripada segi yang lain – satu contoh nyata ialah Leicester City.

Tidak terkecuali juga kuasa berbelanja besar hampir semua pasukan dalam saingan tahap tertinggi di England ini. Contohnya, Sunderland yang sudah diturunkan divisyen, meraih GBP90 juta (RM501 juta) sebagai sebahagian hak penyiaran musim lalu – jauh lebih besar daripada yang diperoleh kelab gergasi Jerman, Bayern Munich, yang ditabalkan juara Bundesliga.

Satu kebaikan daripada agihan pendapatan sedemikian ialah pasukan-pasukan di kelompok bawahan sekalipun berkemampuan berbelanja untuk mendapatkan pemain, lantas berupaya merapatkan jurang dengan pasukan kelompok atasan yang membawa kepada persaingan lebih sengit dan mencemaskan.

Sebagai tambahan kepada itu, EPL juga adalah tarikan buat jurulatih terbaik dunia. Dengan pemenang seperti Jose Mourinho, Antonio Conte, Pep Guardiola, Arsene Wenger, Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino, antaranya, bersingsing lengan dalam liga yang sama, bahang kehangatannya adalah perkara lumrah saban minggu.

Ego-ego besar seperti mereka sangat bencikan kekalahan dan akan mengguna pakai apa saja kepintaran, helah dan tipu-daya untuk memenangi perlawanan dan sekali lagi musim 2017-18 ini menjanjikan antara saingan paling mendebarkan hingga juara bertahan, Chelsea, sekalipun tidak mampu berasa yakin akan unggul sekali lagi.

Sambil agensi-agensi pertaruhan saling menawarkan kebarangkalian masing-masing terhadap kelab yang diramalkan akan muncul juara, News18 Sports tidak ketinggalan menampilkan congakannya berlandaskan pengamatan dan telahannya sendiri.

Jarang sekali seseorang akan mendapati terdapat empat atau lima pesaing utama yang berebutkan hak untuk bergelar yang terbaik di England kerana tiada satu pasukan pun yang mampu berpeluk tubuh dalam meningkatkan saingan terhadap barisan pencabar.

Juara bertahan, Chelsea, adalah antara pilihan awal untuk menjulang trofi buat semusim lagi, namun mereka juga akan mendapatinya sukar untuk mengekalkan gelaran di Stamford Bridge yang menyaksikan Antonio Conte dan barisan pemainnya unggul dengan kelebihan tujuh mata dalam musim pertamanya selaku pengurus The Blues.

Skuad Chelsea musim ini dikatakan memiliki kurang kedalaman hingga menimbulkan keluh-kesah pengurus itu terhadap pengurusan kelabnya mengambil bahagian dalam pasaran perpindahan pemain, musim panas lalu.

Berbeza dengan musim lalu, Chelsea juga akan kian sibuk dalam saingan Liga Juara-Juara yang mungkin menelanjangi kecetekan pilihan pemain berkelas dunia yang diperlukan – keanjalan jadual yang mungkin memberi kelebihan kepada Arsenal yang tidak akan terbabit dengan saingan peringkat tertinggi Eropah buat kali pertama sejak sekian lama.

The Blues, dalam pada itu, tetap berhasil mendatangkan Alvaro Morata, Tiemoue Bakayoko, Antonio Rudiger, Ethan Ampadu dan Willy Caballero, namun berpisah dengan Nemanja Matic, Nathan Ake, Juan Cuadrado, Asmir Begovic dan Dominic Solanke dalam kalangan 21 pemainnya yang sama ada dijual atau dipinjamkan ke pasukan lain.

Begitupun, Chelsea kekal antara pasukan yang perlu ditundukkan, dengan tonggak seperti Eden Hazard, Cesc Fabregas dan N'golo Kante akan sekali lagi menentukan hala tuju pasukan pada musim baru ini.

Pencabar terdekat Chelsea haruslah Manchester City dalam pada pengurusnya, Guardiola, berharap untuk menebus kehambaran tanpa sebarang trofi musim lalu di samping jurang besar 15 mata yang menjarakkan mereka di tangga ketiga.

Bekas pengurus Barcelona itu, yang tidak segan-silu mengakui dia harus dipecat, mahu membalas kepercayaan City dengan merombak pasukannya dengan dana lebih GBP200 juta (RM1.1 bilion) untuk menagih sentuhan Kyle Walker, Benjamin Mendy, Bernardo Silva, Ederson, Danilo dan Douglas Luiz bagi menyuntik nafas baru.

The Citizens dibolosi 39 gol musim lalu – ketiga terbanyak dalam kalangan enam pasukan teratas liga. Itu juga puncanya Guardiola memilih untuk mengukuhkan benteng pasukannya dengan penjaga gol, Ederson, serta fulbek, Walker, Danilo dan Mendy.

Jentera serangan City pula adalah antara yang terbaik musim lalu dengan gandingan Sergio Aguero, Kevin De Bruyne, David Silva, Gabriel Jesus dan Raheem Sterling dan kini disertai Bernado Silva, yang menjuarai Ligue 1 bersama Monaco musim lalu.

(bersambung)
 

Advertisement

Must Watch Video