Skip to main content

Advertisement

Rencana

Kegagalan di KL matangkan Yusri

asiana-64162.jpg
Yusri Che Lah menjadi pengendali pertama dalam saingan Liga Super musim ini yang tidak dapat menghabiskan tugasnya sehingga penghujung musim, selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.

Selepas lima aksi Liga Super, skuad warga kota kendalian Yusri gagal merakam sebarang mata apabila tewas dalam semua aksi tersebut.

Kekalahan 2-3 kepada Selangor ketika aksi liga Ahad lalu adalah kelibat terakhir Yusri sebagai pengendali Kuala Lumpur.

Pada pengamatan penulis, Yusri mengambil sikap profesional dengan mengundur diri tanpa pihak pengurusan Persatuan Bola sepak Kuala Lumpur (KLFA), mengambil tindakan ke atasnya.

Yusri sedar selaku jurulatih, dia bertanggungjawab sepenuhnya dengan pencapaian pasukan meskipun pada pandangan penulis kegagalan Kuala Lumpur bukan berpunca daripadanya seorang saja.

Difahamkan selain pertahan import Luke Woodland, Yusri tidak terbabit dalam pemilihan pemain lain dalam skuad warga kota musim ini dan sudah pasti sukar buat mana-mana jurulatih membentuk barisan ampuh tanpa ramuan pemain pilihannya.

Berlandaskan pengalaman penulis membuat liputan Liga Super musim lalu, penulis tetap melihat Yusri sebagai seorang jurulatih tempatan muda berbakat besar dan mempunyai potensi.

Kegagalan bersama Kuala Lumpur dan sebelum itu Kelantan, tidak seharusnya melemahkan semangat Yusri kerana ia adalah asam garam bagi mana-mana jurulatih yang baru mula membina kredibilitinya sebagai seorang pengendali.

Sebagai pemain, Yusrti tidak kurang hebatnya dan pernah mewakili beberapa pasukan dalam saingan Liga M serta turut pernah membarisi skuad kebangsaan dari 1995 hingga 2002.

Penulis berharap akan ada pasukan lain selepas ini yang akan memberi peluang kepada Yusri kembali sebagai ketua jurulatih dalam saingan Liga Super atau Perdana.

Ia kerana penulis enggan melihat karier seorang jurulatih muda berpotensi seperti Yusri, berkubur begitu saja.

Advertisement

Must Watch Video