Skip to main content

Rencana

Kecohlah Kevin De Bruyne

debruyne.jpg
Tiada mana-mana Kevin yang mampu menimbulkan kekecohan seperti dalam filem komedi popular 90an, Home Alone selain Kevin De Bruyne.

Kenyataan pengurus Manchester City, Pep Guardiola itu menguatkan peranan Kevin De Bruyne dalam pasukan ketika juara bertahan itu cuba untuk kembali mengejar pendahulu, Liverpool yang berada di puncak liga.

De Bruyne mula menyarung jersi The Citizens sejak Ogos 2015, dibawa masuk bagi memperkuat barisan tengah selepas mereka gagal mengekalkan kejuaraan Liga Perdana pada musim 2014/ 2015.

Pemain antarabangsa Belgium ini pantas menyesuaikan diri untuk diiktiraf sebagai pemain terbaik City pada musim berikutnya dan sekali lagi dinobat gelaran sama ketika membawa pasukan kembali menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim 2017/2018.

Selepas keampuhan City umpama tiada tandingannya musim lalu, gelaran kejuaraan hatrik dilihat cukup mencabar untuk dijelmakan dengan tentangan hebat Liverpool yang sudah sekian lama kepingin menjulang trofi domestik.

Disebalik kesilapan City mencicirkan banyak mata pada awal musim ini, kesungguhan De Bruyne dalam terus memberikan aksi terbaik seperti yang dipamerkan pada pertemuan menentang Arsenal cukup mengujakan.

Pemain berusia 28 tahun ini disifatkan Guardiola mampu melihat 'masa depan' atau memiliki tekaan yang baik dalam membaca tindakan lawan - sama keadaannya seperti watak kanak-kanak bernama Kevin yang perlu memasang perangkap buat perompak ketika ditinggalkan bersendirian di rumah pada cuti musim krismas.

Kevin yang terbabit dalam 19 gol buat City - menjaringkan 7 gol dan membantu 12 gol yang dihasilkan rakan sepasukannya - bagaimanapun tidak boleh memikirkan cuti krismas yang panjang, apatah lagi jurang mata dengan Liverpool masih pada dua angka.

Namun De Bruyne boleh berbangga dengan pencapaianya sebagai pemain tengah paling aktif setakat ini.

Kecoh pun kecohlah. Janji menang 3 mata.

Advertisement

Must Watch Video