RENCANA
Karpet merah buat Mourinho?
Sememangnya desas-desus dan berita kehadiran pengurus berasal dari Portugal, Jose Mourinho ke Manchester United(Man Utd) sudah didengari semenjak Mourinho dipecat Chelsea beberapa bulan yang lalu.
Pengurus yang dikenali sebagai “The Special One” ini dikhabarkan sudah lama berminat untuk mengurus pasukan The Red Devils lantas dengan pemergian Louis Van Gaal, sudah hampir pasti kerusi itu akan menjadi miliknya, sekadar menunggu pengumuman rasmi sahaja.
Namun, walaupun memegang status seorang pengurus berjaya dan mempunyai rekod cemerlang, adakah Mourinho orang yang dicari oleh Man Utd bagi mengembalikan zaman kegemilangan seperti diterajui oleh Sir Alex Ferguson satu ketika dahulu?
Iklan
Sudah menjadi tradisi Man Utd mengamalkan cara permainan menyerang dan memperkenalkan bakat muda dari akademi bola kelab mereka untuk bermain di peringkat lebih tinggi, jadi adakah Mourinho akan cuba untuk mengekalkan tradisi tersebut?
Pemain Muda
Kelab Manchester United memang gah sebagai salah sebuah kelab yang melahirkan bakat baru dalam dunia bola sepak. “Busby Babes” pada zaman Sir Mat Busby, dan Class of 92’, yang melahirkan bakat seperti David Beckham, Paul Scholes, Gary Neville dan Ryan giggs.
Di bawah David Moyes, Pemain muda Adnan Januzaj banyak diketengahkan manakala di bawah Louis Van Gaal, pemain seperti Jesse Lingard, Anthony Martial, Marcus Rashford dan ramai lagi telah menjadi pemain utama Man Utd terutamanya di penghujung musim liga.
Mourinho pula lebih dikenali dengan membeli pemain yang sudah berkaliber dan mempunyai nama di arena bola sepak untuk digunakan di atas padang. Tatkala bersama Chelsea, beliau membawa masuk Andriy Shevchenko, Didier Drogba dan Diego Costa sebagai penyerang The Blues, dan mengenepikan pemain seperti Daniel Sturridge dan Romelu Lukaku, di mana kedua pemain ini semakin menyerlah di kelab dan negara masing masing.
Mourinho juga membawa masuk pemain seperti Cesc Fabregas, Michael Essien, Sami Khedira dan Mesut Ozil sewaktu bersama Chelsea dan Real Madrid, nama pemain yang sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.
Namun begitu, Mourinho juga pernah memberi peluang untuk pemain muda menyinar. Mario Balotelli mula bermain di bawah Jose Mourinho pada usia 18 tahun sementara pemain seperti John Terry, Raphael Varane, dan Eden Hazard juga sering diberi peluang sewaktu mereka di usia muda dan ini mungkin memberi berita baik kepada pemain seperti Lingard dan Memphis Depay.
Mourinho juga perlu pandai menguruskan pemain muda yang berada di Man Utd sekarang. Kemunculan Rashford dan Anthony Martial yang menjadi kunci kemenangan Man Utd di dalam banyak perlawanan musim ini harus bijak di uruskan oleh Mourinho. Van Gaal dikritik ribuan peminat akan pemilihan Martial apabila diletakkan di posisi sayap kiri, jadi agak menarik untuk dilihat bagaimana Mourinho akan menguruskan perkara ini?
"The Morinho's Style.."
Cara permainan bertahan.
Mourinho juga dikenali dengan sikap permainan yang lebih defensif. Sering dikaitkan dengan frasa “Park The Bus” sewaktu di Chelsea, beliau juga pernah menyingkirkan Juan Mata, kerana pemain Sepanyol itu agak lemah dalam kembali untuk bertahan sewaktu bersama Chelsea.
Di Man Utd pula, taktik menyerang memang sudah sinonim dengan nama pasukan, malah, apabila LVG cuba untuk memperkenalkan corak permainan baru, beliau dikritik hebat dan ramai melabelkan Man Utd sebagai pasukan yang membosankan.
Tugas Mourinho pastilah harus membawa kembali cara permainan tersebut. Bagaimanapun, walau dikenali dengan corak bertahan, Mourinho juga mempunyai rekod yang baik dalam jumlah gol yang dijaringkan oleh kelab yang diurus beliau.
Sewaktu kali pertama bersama Chelsea, mereka menjaringkan 72 gol, 14 gol lebih banyak dari Man Utd pada musim tersebut. Sewaktu di Porto juga, mereka menjaringkan gol paling banyak sepanjang Mourinho berada di sana.
Sewaktu di Real Madrid, dengan adanya Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema, Mereka menjaringkan lebih 100 gol sepanjang tiga musim Mourinho di sana, dan dua daripada tiga musim itu melebihi dari pasukan Barcelona.
Mourinho juga sering membawa pemain di posisi penyerang yang sering menjadi bintang dan kunci kejayaan pasukan seperti Arjen Robben, Eden Hazard, Mesut Ozil dan Angel Di Maria.
Jadi adakah Mourinho adalah pengurus yang dinantikan oleh peminat the Red Devils selepas David Moyes dan Louis Van Gaal gagal menggantikan Sir Alex Ferguson? Atau The Special One juga akan menerima nasib yang sama seperti yang lain?
Must-Watch Video