Skip to main content

Rencana

Juara 100 meter -- Jangan sekadar gah dalam Asia Tenggara

haiqal-1.jpg
Sekalung  tahniah kepada Muhammad Haiqal Hanafi yang muncul lelaki terpantas Asia Tenggara dengan memenangi acara pecut 100 meter dalam Sukan SEA ke-30 di Manila, semalam.

Dengan kepantasan kemenangan 10.35 saat, yang juga catatan peribadi terbaiknya, Haiqal menempatkan dirinya dalam kelompok elit  pelari pecut negara yang pernah memenangi acara 100 meter di Sukan SEA ini, antaranya Tan Sri Dr M Jegathesan, Nazmizan Mohamad dan Khairul Hafiz Jantan.

Berasal dari Negeri Sembilan, atlit berusia 20 tahun ini adalah produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor dan juga anak didik kepada jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim,yang melahirkan ramai barisan pelari pecut lelaki negara seperti Khairul Hafiz, raja pecut Sukan SEA 2017 serta pemegang rekod kebangsaan 100 dan 200 meter.

Malaysia kini sudah memenangi acara riben biru olahraga 100 meter lelaki dalam dua edisi Temasya Sukan SEA berturut-turut. Pada satu ketika Malaysia di jangka akan kehilangan pingat emas ini selepas prestasi tidak menentu Khairul Hafiz yang dibelenggu kecederaan. Justeru, tiada siapa menyangka Haiqal akan menenanginya apatah lagi dia boleh dianggap sebagai ‘bidan terjun’ dalam acara ini selepas persatuan olahraga kebangsaan masih mencongak siapa yang bakal diturunkan dalam acara ini.

Dan Haiqal sudah membayar kepercayaan itu dengan faedahnya sekali. Syabas!

Persoalannya sekarang apakah kita kini sudah cukup berpuas hati dengan emas 100 meter di Sukan SEA? Kita harus sedar dalam acara kali ini tiada jaguh dari Indonesia, Lalu Mohamad Zohri serta juara 2015, Eric Cray dari Filipina, yang gagal menempatkan diri di final selepas kesilapan permulaan pada acara saringan. Jika mereka ini ada, mungkin penyudahnya berbeza tetapi ketiadaan mereka juga merupakan keuntungan bagi pelari negara.

Kejayaan Haiqal perlu menjadi batu loncatan untuk cuba melakar pencapaian lebih tinggi terutama di peringkat Asia, Komanwel dan juga dunia. Ini sesuatu yang perlu dilakukan sekarang. Pada mulanya kita berharap Kharul Hafiz akan melakukanya tetapi malang potensi yang ada padanya diri tidak digilap sepenuhnya selepas dua tahun. 

Saya berharap perkara yang sama tidak berlaku kepada Haiqal serta barisan pelari pecut negara yang lainnya. Ketika ini kita memiliki ramai barisan pelari yang berbakat serta menarik tetapi ia pasti bakat yang sia-sia jika hanya sekadar jaguh di peringkat Asia Tenggara untuk dipertontonkan.

Advertisement

Must Watch Video