Skip to main content

Rencana

Jin Wei 'merdeka'

29817jinwei_1.jpg
'Merdeka' bebas daripada peperiksaan buat pemain comel nombor satu negara Goh Jin Wei. 

Juara badminton termuda kebangsaan pada usia 15 tahun 2 tahun lalu, Jin Wei melalui pengalaman berguna mengimbangi pelajaran dan bersukan setelah menduduki lapan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berakhir semalam.

Pelajar jurusan sains Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Jin Wei, mula menjinakkan diri dalam sukan badminton pada usia enam tahun, mengaku adakalanya menjadi pelajar atlet amat mencabar dan berasa penat secara mental mahupun fizikal kerana ingin memberi yang terbaik dalam kedua-duanya. 

Malaysia menunggu 14 tahun setelah kali terakhir isteri Lee Chong Wei, Wong Mew Choo, merangkul pingat emas perseorangan wanita Sukan SEA dan  Jin Wei lah yang menghadiahkan pingat emas dalam edisi Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Saya sempat bertanya pemain di ranking 52 dunia yang dipanggil 'kecil-kecil cili padi' kerana bertubuh kecil namun licik dalam gelanggang. 

1. Perasaan anda tamat menduduki peperiksaan SPM? 
Saya berasa sangat lega tetapi ini hanyalah salah satu perkara penting kerana banyak lagi dalam perancangan. 

2. Subjek paling sukar dan paling mudah?
Hahhaha...Paling mencabar ialah matematik tambahan dan tiada yang 'kacang putih'.  

3. Bagaimana anda buat persiapan untuk SPM walaupun sibuk dengan badminton?
Hmmm..Terus-terang saya mengulang kaji tidak lama sebelum peperiksaan bermula. Kena 'study smart' dan beri yang sebaik mungkin. 

4. Boleh berkongsi bagaimana Jin Wei menenangkan fikiran dan berehat?
Tak ada banyak masa untuk bersantai sebab kena berlatih setiap hari. Tetapi itulah kehidupan sebagai seorang pelajar dan pemain badminton negara. 

5. Apa yang Jin Wei perhatikan sepanjang tahun peperiksaan SPM ini?
Pelajar bukan atlet selalu belajar dan nampak tertekan. Nasib baik perangai saya ni tak boleh duduk diam dan pergi latihan seperti biasa dan aktif. Hilangkan tekanan. 

6. Ada perancangan sambung belajar di pengajian tinggi atau bermain badminton sepenuh masa? 
Kemungkinan besar saya ingin belajar di universiti mengikuti kursus separuh masa kerana amat penting belajar sesuatu yang baharu selain fokus kepada badminton terutamanya tahun depan dengan adanya Sukan Komanwel dan Sukan Asia. 

7. Apa target tahun 2018?
Saya amat gembira menjalankan tanggung-jawab sebagai seorang pelajar dengan baik tahun ini dan setelah berakhirnya SPM saya boleh beri lebih tumpuan kepada latihan dan beraksi lebih baik serta menaikkan ranking dunia. 

(Jin Wei meminta penulis belanja makan untuk merai kejayaan selepas menduduki SPM...Penulis tersenyum...) 

Advertisement

Must Watch Video