Skip to main content

Rencana

Jerman ketengahkan elemen hoki dalam bola sepak

blog-141017.jpg
Ketika ini, pencapaian Harimau Malaya dan The Malaysian Hockey Tigers ibarat langit dan bumi. 

Tatkala skuad asuhan Nelo Vingada masih lagi terkial-kial mencari formula kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019, lain pula ceritanya dengan anak buah Stephen Van Huizen yang sedang mengharungi cabaran dalam kempen Piala Asia di Dhaka. 

Di Jerman, contohnya, skuad bola sepak Jerman sudah mengetengahkan elemen hoki dengan idea merekrut Markus Weise untuk tugasan di akademi Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) yang sedang dibina di Frankfurt dan dijangka digunakan pada lewat 2018. 

Projek itu dilabel sebagai masa depan bola sepak Jerman, sebagai kesinambungan kebangkitan bola sepak Jerman pasca kegagalan Kejohanan Euro 2004. 

Weise bukanlah asing bagi peminat sukan di Jerman. Dia pernah menjulang skuad hoki lelaki dan wanita sebagai juara dalam Sukan Olimpik 2004 dan 2008. 

Bekas pengendali Die Mannschaft, Jurgen Klinsmann, juga pernah mendekati khidmat jurulatih hoki berwibawa, Bernhard Peters, pada 2006.

Belanda pernah mendedahkan bahawa hoki memainkan peranan dalam kejayaan mereka muncul finalis Piala Dunia 2010.

Ketua jurulatih ketika itu, Louis Van Gaal, telah melantik bekas pemain hoki profesional di dalam barisan kejurulatihannya dan ia mendapat reaksi positif daripada pemain legenda, Edgar Davids. 

Mengapa kaedah ini tidak diperkenalkan di Malaysia walhal di pentas hoki dunia, kita merupakan antara kuasa besar dan layak secara merit dalam Piala Dunia 2018.

Tambahan lagi, orang nombor satu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, bukanlah asing dalam kancah bola sepak. 

Beliau kini menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selain pernah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan pada era Datuk K. Rajagobal. 

Barangkali, projek ini boleh diketengahkan dari peringkat akar umbi sekiranya kita berhajat melihat perkembangan yang lebih positif terhadap bola sepak negara pada masa hadapan. 


 

Advertisement

Must Watch Video