RENCANA
JDT merintis kemungkinan ke Liga Juara-Juara Asia
Tahniah buat Johor Darul Takzim kerana berjaya melakar sejarah baru dalam arena bola sepak tanahair apabila muncul pasukan pertama yang menjuarai Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.
Kejayaan itu dilakar JDT selepas menundukkan Terengganu 3-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat dibantu jaringan kapten Safiq Rahim dan penyerang import Jorge Pereyra Diaz.
Lebih manis, ia kejuaraan ketiga buat JDT musim ini selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA. Tiga gelaran sudah, kini tinggal satu jadi buruan Harimau Selatan iaitu Piala AFC.
Iklan
Sambutan meraikan kejayaan itu terpaksa dipendekkan kerana mereka perlu berkunjung ke Hong Kong untuk bertemu South China bagi aksi suku akhir pertama Piala AFC pada Selasa depan untuk misi mempertahankan gelaran.
Mampu atau tidak, itu bukan persoalannya kerana mereka kini sudah boleh memikirkan mengenai visi dan misi seterusnya setelah berjaya meraih slot kelayakan Liga Juara-Juara Asia menerusi kejuaraan Liga Super mahupun Piala FA.
"Hebat, hebat…", reaksi spontan saya sambil tersenyum melihat anak buah Mario Gomez berlari dan kemudian merebahkan badan ke arah penyokong bagi meraih kejayaan bersejarah itu, sejurus perlawanan menentang skuad Peteh tamat.
JDT kempunan beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia musim ini selepas tewas kepada gergasi bola sepak Thailand, Muanghtong United dalam penentuan sepakan penalti di pusingan kedua kelayakan kejohanan pada Februari lalu.
Jadi, saya percaya mereka pastinya mahu menebus kehampaan itu untuk mengukir satu lagi sejarah bola sepak tanahair - muncul pasukan pertama negara layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia, yang kini menjadi impian semua pemain JDT.
Mereka juga sudah tentu akan merencana pendekatan terbaik untuk bagaimana menjejakkan kaki di pentas Liga Juara-Juara Asia kerana itu sahaja lah cara mereka iaitu menerusi peringkat kelayakan untuk ke kejohanan berprestij itu.
Ini memandangkan, tiada slot automatik buat juara Liga Malaysia untuk menyertai kejohanan itu berbanding pasukan dari negara jiran seperti Thailand dan Vietnam dengan tahun ini, mereka diperuntukkan satu slot.
Semuanya, gara-gara taraf liga kita dikatakan belum mencapai standard tertinggi oleh Konfederasi Bola Sepak Asia AFC untuk diperuntukkan slot automatik ke kejohanan itu. Apa pun, dengan pencapaian hebat tahun ini, JDT kini merintis kemungkinan untuk ke Liga Juara-Juara Asia!
Must-Watch Video



