Tindakan drastik menggugurkan nama dua penembak negara, Ezuan Nasir Khan dan Nur Suryani Mohamed Taibi di Sukan Asia Indonesia nyata mengecewakan selepas segala persiapan dilakukan.
Apa tidaknya, setiap kali di latihan, hanya Ezuan dan Suryani yang diberi perhatian untuk menceritakan segala persiapan yang telah dilakukan untuk ke Sukan Asia.
Advertisement
Malah, mereka sendiri dimaklumkan pada saat akhir atas pengguguran itu dan anggap ia satu pemilihan yang berat sebelah kerana tidak melakukan perbincangan dengan lebih awal.
Tapi jurulatih menembak riffle negara, Sabki Mohd Din menjelaskan ia adalah pemilihan yang telus berdasarkan prestasi semasa dengan melihat peningkatan penembak muda, Mohd Lutfi Othman dan Nur Izazi Rosli tahun ini yang konsisten untuk galas cabaran di Indonesia.
Bagi penulis, ia bukanlah satu pengakhiran untuk Ezuan dan Suryani walaupun tidak dipilih ke Sukan Asia sebaliknya jadikan situasi ini sebagai satu semangat untuk mereka terus bangkit. Apatah lagi selepas turut dikritik beraksi hambar di Sukan Komanwel Goldcoast.
Suryani sememangnya nama yang tidak asing lagi dalam sukan menembak dan penulis percaya pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 ini akan terus mencipta nama untuk cuba melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik 2020 pula.
Isu nama digugurkan daripada sesuatu temasya ini boleh dianggap asam garam dalam kehidupan seorang atlit dan juga akan menjadi pengajaran berguna untuk mereka tidak berputus asa bagi berdepan persaingan sihat sesama rakan sepasukan.
Kita teruskan sokongan kepada 9 penembak lain yang akan ke Sukan Asia untuk harumkan nama negara di Indonesia nanti!