Skip to main content

Rencana

Jangan pandang rendah kemampuan Malaysia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mas_2.jpg
Malaysia 2 Korea Selatan 1, Stadium Si Jalak Harupat Bandung, 17 Ogos 2018.

Penulis merupakan antara individu yang cukup bertuah apabila diberi peluang membuat liputan perlawanan bola sepak temasya Sukan Asia Indonesia 2018 membabitkan pasukan Malaysia dan Korea Selatan di Bandung.

Ini merupakan cabaran sebenar buat skuad negara sekiranya ingin merebut tempat untuk lepasi peringkat kumpulan, sekaligus mara ke pusingan 16 terbaik.

Korea Selatan turun dengan reputasi lebih gah, menurunkan antara skuad terbaik mereka dan ditambah dengan dua tonggak yang terbabit dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia sebelum ini, iaitu pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-Min, serta penjaga gol, Jo Hyeon-Woo.

Dibuai dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Bahrain dalam aksi pembukaan kumpulan E, Korea Selatan seolah-olah tidak memandang serius cabaran Malaysia apabila pengendalinya, Kim Hak-Bum, membuat lapan pertukaran terhadap kesebelasan utamanya tatkala skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee turun dengan lonjakan motivasi susulan kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyzstan.

Bagaimanapun, bermulanya 90 minit di Stadium Si Jalak Harupat, segalanya berubah apabila Muhammad Safawi Rasid memanfaatkan kealpaan di antara benteng lawan untuk memperoleh jaringan pembukaan buat Malaysia.

Nyata jaringan itu mengubah suasana perlawanan dengan Korea Selatan perlu tingkatkan tempo mereka dalam usaha menembusi kubu skuad negara.

Ketika Malaysia berkira-kira untuk membawa pendahuluan 1-0 menuju ke bilik persalinan dan menamatkan babak pertama, satu lagi detik magis berlaku apabila Safawi membuat penyudah yang baik bagi menewaskan Song Beom-Keun di gawang lawan untuk menggandakan pendahuluan.

Ternyata percaturan Korea Selatan tidak menjadi dan semakin terdesak di babak kedua, mereka terpaksa membawa masuk Heung-Min untuk tingkatkan pilihan di bahagian serangan.

Walaupun memperoleh jaringan lewat permainan menerusi Hwang Ui-Jo, ia tidak memadai untuk menyekat kemenangan Malaysia, sekaligus menebus kekecewaan tewas kepada lawan yang sama di peringkat suku akhir kejohanan Piala AFC Bawah 23 tahun di Kunshan, China, Januari lalu.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Korea Selatan di pentas Sukan Asia adalah pada edisi 1974 Tehran, di mana ketika itu skuad negara membawa pulang pingat gangsa.

Adakah kisah serupa atau pencapaian lebih baik dapat dihasilkan kali ini? Diharapkan Malaysia punyai laluan yang selesa dalam pusingan berikutnya nanti.

Advertisement

Must Watch Video