Skip to main content

Rencana

JANGAN PANDANG HINA!

130216jamievardy-jpg.jpg
Setelah 10 tahun tidak beraksi di Liga Perdana Inggeris, Leicester kembali pada 2014 dan musim ini mereka seringkali menjadi sebutan. Namun sebelum pujian melambung diberikan kepada The Foxes, para pengkritik dan juga pemerhati bola sepak Inggeris tidak yakin akan kemampuan Leicester dan seringkali menganggap rentetan kemenangan yang dinikmati Leicester akan berakhir.

Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri sebelum ini menepis soalan mengenai peluang pasukannya untuk merangkul kejuaraan, ini kerana Ranieri enggan terbawa-bawa dengan mimpi bahawa mereka mungkin akan mencipta sejarah musim ini. Tetapi sejak kebelakangan ini, pengurus yang berusia 64 tahun ini semakin percaya bahawa mimpi indah ini mungkin akan menjadi realiti, dengan kelebihan 5 mata kini mengatasi Tottenham Hotspur di tangga kedua, Leicester mungkin akan menjadi pasukan yang disanjungi selepas ini. 

Sejak bermulanya era Liga Perdana Inggeris pada tahun 1992, hanya 5 pasukan yang pernah bergelar juara. Manchester United pernah menjuarai sebanyak 13 kali, Chelsea 4 kali, Arsenal 3 kali dan Manchester City 2 kali. Semua nama-nama besar kecuali Blackburn Rovers yang pernah dinobatkan juara sekali pada 1995. Itupun kejayaan Blackburn adalah selepas menamatkan 2 musim sebelum itu di kelompok empat terbaik. Cukup berbeza dengan Leicester yang menamatkan saingan 2014/15 di tangga ke-14.

Apapun, kejayaan Leicester patut dijadikan teladan dan inspirasi kerana wang bukanlah segala-galanya dalam mencapai sesuatu kejayaan. Semangat pasukan, kualiti permainan dan juga keserasian di antara pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain-pemain adalah rahsia di sebalik kejayaan pasukan kerdil ini. 

Namun siapa tahu, selepas penghujung musim ini, Leicester akan menutup mulut semua pengkritik yang pernah mencemuh dan pandang hina akan kemampuan mereka sekaligus mencipta sejarah dan juga kisah paling menarik dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Advertisement

Must Watch Video