Skip to main content

Rencana

Impian emas tidak kesampaian

cheong-jun-hoong.jpg
Saya bertemu penerjun negara, Cheong Jun Hoong, ketika menerima rawatan di Institut Sukan Negara (ISN), minggu lalu.

Dia memegang lutut kiri yang bengkak, jalan terhencut-hencut.

"Doktor cakap ade cecair warna kuning. Ini kali kedua saya terpaksa mengeluarkan cecair itu," kata jaguh berusia 28 tahun itu.

Beberapa jam kemudian, Chef-de-Mission (CDM) Sukan Asia, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, mengumumkan Jun Hoong cedera dan terpaksa menunggu laporan doktor.

Seminggu kemudian, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengumumkan Jun Hoong terpaksa menarik diri kerana gagal pulih.

"Saya tidak tahu apa punca kecederaan ini. Imbasan MRI tidak menunjukkan apa-apa. Doktor juga bingung.

"Saya kecewa kerana sudah buat persiapan sejak empat tahun lalu. Saya mahu bersama pasukan untuk mencipta sejarah meraih pingat emas sulung di Sukan Asia. Tapi saya terpaksa menerima keputusan ini," kata Jun Hoong.

Jun Hoong menyertai Sukan Asia Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.

Tapi di Incheon, dia mempamerkan watak penting apabila menyumbang perak dalam acara 3m papan anjal terjun seirama bersama Wendy Ng Yan Yee dan gangsa 3m individu papan anjal.

Dia sepatutnya turun sebagai penerjun pilihan selepas muncul juara dunia 2017 dalam acara 10m individu platform sebelum kecederaan ini berlaku.

Saya menghubungi Jun Hoong, beberapa jam selepas pengumuman dia menarik diri. "Anda baru berusia 28 tahun. Masih ada peluang cipta kejayaan lebih besar pada Olimpik Tokyo 2020.

"Emas Jakarta tidak kesampaian, tapi mungkin ia akan muncul di Tokyo," pesan saya kepada penerjun kelahiran Ipoh, Perak itu.


 

Advertisement

Must Watch Video