Skip to main content

Rencana

Hoki Wanita: 28 gol dua perlawanan!

hoki-wanita.jpg
Skuad hoki wanita negara kian mengukuhkan reputasi sebagai gergasi di pentas dunia.

Walaupun reputasi mereka terjejas apabila diturunkan pangkat ke Sukan Asia Indonesia (kategori B), namun ia tidak menjejaskan tumpuan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Selepas membelasah Indonesia 18-0 dalam aksi sulung, Malaysia membenam Hong Kong 10-0 untuk mengekalkan takhta peringkat round robin Hoki Siri Terbuka di Singapura.

Sememangnya di atas kertas, Malaysia sepatutnya mampu menjuarai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu apabila turun selaku pilihan utama berdasarkan ranking dunia.

Antara enam pasukan, Malaysia (ranking 22 dunia) dijangka menerima tentangan Thailand dan Kazakhstan sementara pasukan lain mungkin dirobek habis-habisan.

Lebih menarik, pemain Malaysia mendominasi senarai pendahulu penjaring terbanyak diketuai pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Mohd Rashid dengan lima gol!

"Ini permulaan yang baik. Pemain mengikut arahan dan beraksi sedaya-upaya walaupun menentang pasukan yang memiliki reputasi lebih rendah. 

"Cuma beberapa aspek perlu diperbaiki terutamanya mengenai kemampuan pemain buat keputusan pada saat genting," kata Dhaarma.

Selepas ini, Malaysia dijadual menentang Kazakhstan, Thailand dan tuan rumah, Singapura untuk melengkapkan saingan round robin.

Dua pasukan terbaik ke final dan akan menempah tiket ke Hoki Siri Final, tahun depan.

Ia langkah kedua untuk ke Tokyo yang jauh daripada jangkauan. Tetapi, saya fikir tumpuan perlu diberikan untuk menjuarai saingan di Singapura kerana ia akan mencatat sejarah.

Malaysia tidak pernah muncul juara ketika kejohanan ini dikenai sebagai Pusingan Pertama Liga Dunia. Tahun lalu, Malaysian Tigress muncul naib juara selepas tewas kepada Ireland ketika final di Stadium Hoki Tun Razak.

Pencapaian itu membuka mata rakyat Malaysia bahawa kita memiliki pasukan hoki wanita yang berpotensi melangkah jauh.

Kali ini peluang terhidang.

28 gol dalam dua perlawanan, mungkin Malaysia boleh pecahkan rekod kemenangan terbesar 36-0 ke atas Myanmar ketika Sukan Sea 2013.

Advertisement

Must Watch Video