Skip to main content

Rencana

Hebatnya CR700

cr7.jpg
Bergelar juara bertahan bukan satu tiket untuk menjamin Portugal mengesahkan kemaraan ke Euro 2020 selepas terpaksa menelan kepahitan tewas 2-1 di tangan Ukraine 2-1 dalam saingan kelayakan, awal pagi tadi.

Kekalahan di tangan anak buah Andriy Shevchenko itu bermakna Portugal perlu menunggu sehingga aksi terakhir, menundukkan Lithuania dan Luxembourg bagi memastikan tiket ke pusingan akhir.

Namun, ada sesuatu yang mampu mengukirkan senyuman buat kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.

Selepas bola lambungannya ketika menentang Luxembourg, Sabtu lalu membolehkan pemenang lima kali Ballon d'Or itu meraih gol ke-699 peribadi, kini jumlah tersebut bertambah selepas dia menyempurnakan sepakan penalti di Kiev, awal pagi tadi.

Kejayaan menghasilkan gol ke-700 dalam karier itu bermakna Ronaldo kini menyertai barisan legenda seperti Josef Bican, Romario, Pele, Ferenc Puskas dan Gerd Muller dalam kelompok elit pemain yang pernah mencapai jumlah tersebut atau lebih dalam karier masing-masing.

Bagaimanapun, Ronaldo -- yang kini memasuki musim kedua bersama Juventus sejak menamatkan tempoh sembilan tahun di Real Madrid -- masih ketinggalan 100 gol di belakang legenda Republik Czech, Bican, yang melakukannya dalam tempoh 19 tahun.

Namun, sekurang-kurangnya Ronaldo mendahului seteru utamanya dalam bola sepak moden, Lionel Messi, yang masih ketinggalan 28 gol berbandingnya.

Lima gol bersama Sporting Lisbon, 118 gol sepanjang enam tahun di Old Trafford, 450 gol bersama Los Blancos serta 32 jaringan terhasil daripada 51 penampilan bersama The Old Lady sambil 95 gol mewarnai karier antarabangsa, Ronaldo semestinya muncul pemain terhebat zaman moden dalam dunia bola sepak.

Tidak mustahil jika Ronaldo mampu mengemudi Portugal ke Euro 2020 atau mungkin Piala Dunia Qatar 2022, dia berupaya memecahkan rekod jaringan terbanyak di pentas antarabangsa milik bekas penggempur Iran, Ali Daei, yang menghasilkan 109 gol buat negaranya.


 

Advertisement

Must Watch Video