Skip to main content

Advertisement

Rencana

Haruskah ini musim Liverpool?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

reds.jpg
Liverpool pernah dipersendakan sebagai bahan untuk History Channel – antaranya oleh anda pun tahu siapa – tapi musim ini harus berbeza.

Benar, The Reds pernah beberapa kali berpeluang meraih kejuaraan liga pertamanya sejak 1990 tapi perjalanan sejauh ini membayangkan musim 2018-19 akan menamatkan penantian mereka.

History Channel – seperti sering dirujuk bekas pemimpin yang dah kalah tu – akan menyorot bagaimana Steven Gerrard tergelincir hingga membawa kepada kekalahan laman sendiri kepada Chelsea menuju penghujung musim 2014 yang membuka laluan buat Manchester City menyambar kejuaraan.

Juga ia boleh merujuk kepada kempen cemerlang di bawah Rafael Benitez pada 2008-09 apabila Liverpool hanya tewas dua daripada 38 perlawanannya tapi masih bergelar naib juara, empat mata di belakang Manchester United.

Jadi, kenapa musim ini harus berbeza?

Selepas 20 perlawanan – melepasi garis pertengahan musim – skuad bimbingan Jurgen Klopp itu, yang menundukkan Arsenal 5-1 awal pagi tadi, kekal satu-satunya pasukan tanpa kalah, sembilan mata mengatasi Tottenham di tangga kedua dan 10 mata mendahului Manchester City.

Pertemuan City-Liverpool di Stadium Etihad, Khamis ini, harus memberi gambaran lebih jelas terhadap siapa yang lebih berhak terhadap kejuaraan – dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu yang kini lebih tertekan.

Tidak boleh dipertikaikan pada peringkat ini bahawa Liverpool telah mengambil alih penguasaan dalam persaingan bergelar juara liga, dengan momentum yang sedang mereka lalui belum menunjukkan petanda akan terhenti dalam waktu terdekat ini.

Penambahbaikan dalam pasukan dengan mendatangkan Alisson, Fabinho dan Xherdan Shaqiri menyerlahkan Liverpool sebagai pasukan yang mantap serba-serbi berbanding ketika tewas kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara, 27 Mei lalu, sambil gandingan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane menubuhkan jentera penggempur digeruni.

Bukan sekadar mengimbangi kemampuan itu, malah lebih daripada itu, pertahanannya juga dicemburui dengan hanya membenarkan bolos lapan gol selepas 20  perlawanan – hingga kekal tanpa kalah di Anfield dalam 13 perlawanan.

Sejauh ini, Klopp menepis sebarang cakap-cakap yang mengandaikan Liverpool sebagai juara dalam pembikinan, dengan mempertahankan kelebihan 10 mata ke atas City – yang harus berkurangan kepada tujuh jika mereka mengalahkan Southampton malam ini – tidak bermakna apa-apa.

Namun, pada masa sama, Klopp juga tidak mampu menutup mulut orang lain daripada berkata ini musim untuk Liverpool kembali ditabal selaku juara.

Kecualilah peminat History Channel itu yang tidak lama lagi akan turut menjadi bahan saluran berkenaan.

Advertisement

Must Watch Video