Kejayaan Harimau Malaya melangkah ke pentas final Piala Suzuki AFF 2018, bagi penulis turut menjadi bukti perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia sekaligus membolehkan negara kita melepasi apa saja rintangan.

Tanggal 5 Disember menjadi bukti bangsa Malaysia bersatu menentang bangsa Thai dan laman keramat mereka, Stadium Rajamangala, berjaya ditawan.

Tidak dinafikan, saingan Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah sasaran utama Thailand, Januari depan, berbanding saingan Piala Suzuki.

Thailand juga beraksi tanpa tonggak utama mereka di Liga J, namun tetap membariskan skuad ampuh dan selaku juara bertahan mereka turut memburu kejuaraan keenam.

Wajah kekecewaan jelas terpancar di wajah setiap pemain Thai, apabila Adisak Kraison gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam masa kecederaan dan Malaysia mara ke final dengan agregat 2-2 berdasarkan peraturan jaringan tempat lawan.

Lihat saja tenaga kejurulatihan skuad negara yang menggabungkan seorang jurulatih berbangsa Cina, Tan Cheng Hoe, dibantu penolong jurulatih berbangsa Melayu, Aminudin Hussin dan seorang lagi penolongnya berbangsa India, S Balacandran.

Tidak mungkin Cheng Hoe sendirian mampu mencapai kejayaan itu jika tidak mendapat bantuan Aminudin dan Balacandran.

Kepakaran dan pengalaman ketiga-tiga jurulatih itu yang sebenarnya mencanang kejayaan Harimau Malaya ke atas Thailand.

Pengalaman Cheng Hoe selaku penolong kepada Datuk K. Rajagobal ketika muncul juara edisi 2010 jelas banyak membantunya.

Manakala Aminudin dan Balacandran turut mempunyai pengalaman luas di peringkat akar umbi dan skuad remaja kebangsaan.

Mereka turut dibantu Azmin Azram Abdul Aziz (jurulatih penjaga gol) dan Martin Stano (jurulatih kecergasan).

Pemain juga tampak gembira menjalani latihan dan persiapan dibawah kendalian Cheng Hoe bersama tenaga kejurulatihannya.

Kini, Cheng Hoe dan tenaga kejurulatihannya hanya perlu mencanang dua lagi percaturan taktikal untuk dua aksi final dalam misi merampas kembali kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Penulis percaya, Cheng Hoe juga sedar, jika menjuarai Piala Suzuki sekalipun perjalanan masih jauh.

Sudah pasti sasaran mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 perlu dijadikan sasaran utama selepas ini selain terus memperbaiki ranking dunia FIFA dan cuba beri saingan terbaik di kelayakan Piala Dunia 2022 kelak.

Diharapkan semangat perpaduan dalam skuad negara kini mampu menjadi pemangkin kebangkitan Harimau Malaya untuk mengaum lebih garang di pentas antarabangsa selepas ini.