Skip to main content

Rencana

Hapus hutang, pasang impian

140515subahankamal-jpg.jpg
Sambil Subahan berkongsi visi dan misinya dalam merencanakan kemaraan skuad negara ke Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020, Walsh menceritakan pemerhatiannya sejak kembali ke tanah air selepas dilantik Ogos lalu.

“Apabila dipilih selaku presiden, saya meletakkan indeks petunjuk prestasi untuk diri saya, selain melangsaikan hutang KHM, sudah tentu kami mahu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020. Dalam tempoh itu juga kami meletakkan sasaran layak ke Piala Dunia FIH di India pada 2018 selain memburu kedudukan lapan pasukan teratas dunia.

“KHM juga membentuk jawatankuasa petugas yang mengkaji kesesuaian menjenamakan dan menyusun semula format pertandingan seperti Liga Hoki Malaysia.

“Dalam gambaran yang lebih besar, saya mahu jadikan hoki satu industri yang boleh memberi jaminan hidup kepada semua penggiatnya. Satu cara ialah memastikan pemain dan jurulatih menerima gaji dan pendapatan yang tinggi, setaraf dengan kedudukan hoki sebagai antara pencabar di peringkat dunia,” katanya.

Walsh pula menekankan peri pentingnya pembangunan lebih meluas, melangkaui kelompok elit di semua lapisan.  
“Program 1Mas lebih menumpukan kepada pemain remaja yang sudah berada dalam kelompok elit. Tugas saya memastikan bahawa program ini diluaskan kepada kelompok lebih besar.

“Pada masa yang sama saya bekerjasama rapat dengan panel jurulatih kebangsaan di peringkat senior dan junior untuk memastikan semua pihak berkongsi hala tuju yang sama.

“Antara lain saya akan membimbing jurulatih sambil menekankan aspek kecergasan,” kata Walsh.

Beberapa perkara yang disebut Subahan terangkum dalam blueprint yang dilancarkan September lalu.  KHM melancarkan blueprint selama lima tahun itu bertujuan memudahkan skuad hoki kebangsaan kembali bersaing dalam temasya di Olimpik dengan layak secara automatik pada edisi 2020 di Tokyo.

Walsh yang membimbing pasukan negara pada awal 1990-an, memahami trauma yang dialami Malaysia selepas gagal mara ke Olimpik untuk empat temasya berturut-turut. Kali terakhir Malaysia tampil di pentas Olimpik di Sydney 2000 apabila dibimbing Stephen van Huizen.

Sebagai langkah awal, KHM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan gergasi dunia, Australia meliputi kerjasama menyeluruh dalam aspek urus tadbir, pembangunan akar umbi, pengadil dan jurulatih serta pertukaran pemain.

“Saya faham trauma yang dialami oleh Malaysia apabila gagal layak ke Olimpik untuk empat edisi berturut-turut. Saya dapati kemahiran dan skil individu sesetengah pemain menyamai pemain asing tetapi satu perkara yang perlu ditekankan ialah kekuatan fisiologi pemain.

“Pemain Malaysia beruntung kerana tubuh mereka mempunyai  pusat graviti yang rendah yang memudahkan mereka memecut dalam jarak dekat, menggelecek lawan dan lebih pantas daripada pemain sesetengah negara yang tinggi tetapi kurang fleksibel. Masalah pemain Malaysia ialah fisiologi,” katanya.

KHM sedar apa yang harus dilakukan dalam megembalikan pasukan negara ke dalam kelompok pasukan terbaik dunia.

Kemaraan Malaysia ke separuh akhir Piala Dunia FIH terakam 40 tahun lalu di saat hoki masih diaminkan di atas rumput.

Dengan pelbagai undang-undang dan peraturan permainan sudah bertukar beberapa kali sepanjang empat dekad lalu, hoki memerlukan pengurusan yang pantas berfikir.

 
Apabila hutang persatuan dilangsaikan, KHM harus memasang impian ke puncak buana.

Advertisement

Must Watch Video