Skip to main content

Rencana

Gory! Gory! Man United mengerikan

ole-gunnar.jpg
Keadaan sudah berbalik kepada asal buat Manchester United.

Barangkali Ole Gunnar Solskjaer harus hanya kekal selaku pengurus sementara sehingga akhir musim ini apabila nasibnya diputuskan.

Solskjaer memenangi 14 daripada 19 perlawanan di kerusi pengurus sementara tapi kini semakin terbiasa dengan kekalahan dalam tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir selepas menandatangani kontrak tetap selama tiga tahun.

Tempoh bulan madunya sudah lama berakhir pada ketika pasukannya kini merenung kemungkinan untuk tercicir daripada mengisi kelompok empat teratas dan terlepas penerbangan untuk ke venue Liga Juara-Juara musim depan.

Masalah yang ada harus jauh lebih besar daripada yang dia sendiri dapat jangkakan dengan semakin ramai kini menuding jari kepada Paul Pogba selaku “makhluk perosak” yang mampu memecah-belahkan pasukan sebagaimana dia menjadi dalang kepada pemecatan Jose Mourinho, Disember lalu.

Harus mudah untuk Pogba “dikambinghitamkan”. Kalau bukan dia, siapa lagi?

Apapun, realitinya semakin jelas kini Solskjaer sudah kehilangan sentuhan emasnya ketika dia mula-mula mengambil alih pasukan.

Malah, kalau jurulatih kelahiran Norway itu kurang berhati-hati atau masih menaruh rasa belas kasihan, dia harus menjadi mangsa pemberontakan atau kuasa pemain yang rata-rata dilabel pengkritik – khususnya dalam kalangan bekas bintang United yang kini menjadi pengulas televisyen – sebagai hanya mementingkan diri.

Dua kekalahan berturut-turut – pertamanya diaibkan Everton 4-0, 21 April lalu, dan disusuli 0-2 kepada City dalam ‘derby Manchester’, Khamis lalu – menelanjangi kedangkalan United hingga ke tahap memualkan penyokong sendiri.

“Glory Glory (bermegah-megahlah) Man United” yang menjadi sorakan dan nyanyian pentaksub The Red Devils diandaikan sudah bertukar kepada “Gory Gory (betapa mengerikan) Man United”.

Namun, apa yang tidak dibayangkan berlaku, sudahpun berlaku tanpa United boleh melakukan apa-apa untuk mengubahnya melainkan memandang ke masa depan – itupun jika perancangan dan pelaksanaannya mampu menepati peningkatan yang dicita-citakan.

Akhbar Daily Mail melaporkan selepas kekalahan terbaru di Old Trafford itu, Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward, memanggil Solskjaer dan penolongnya, Mike Phelan dan Michael Carrick, untuk satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan kehambaran pasukan dan langkah-langkah mencegahnya.

Salah satu butir perbincangan khabarnya ialah kesebelasan United untuk berdepan City – dengan membariskan lima pertahanan termasuk penambahan fulbek, Matteo Darmian -- sudah dibocorkan lebih awal sebagai menimbulkan syak ada pengkhianat dalam pasukan.



Woodward juga, seperti dilaporkan akhbar The Sun, bimbang dengan suasana dalam bilik persalinan yang berlegar tidak lain kepada – siapa lagi kalau bukan – Pogba.

Pemain tengah Perancis itu dipercayai mengatakan Solskjaer tidak cukup bagus untuk menyelamatkan kelab itu di samping timbul kebimbangan pemain lain bahawa pengurus berkenaan tidak memiliki ketegasan untuk membendung ego besar Pogba.

Kononnya ramai yang menyokongnya ketika perbalahan dengan Mourinho, sudah hilang sabar dengan Pogba, dimulai dengan kekalahan kepada Everton itu.

Penjualan Pogba dan rombakan besar-besaran ke atas pasukan dengan melepaskan David de Gea, Alexis Sanchez and Romelu Lukaku bagi musim depan bukan lagi satu pilihan.

Dan sehingga itu berlaku, Solskjaer dan United – kini di tangga keenam, tiga mata di belakang Chelsea di tangga keempat --  hanya mampu mengharapkan keajaiban andai tidak mahu dikenang dengan mengakhiri musim 2018/19 ini di tahap “mengerikan”.

 

Advertisement

Must Watch Video