Skip to main content

Rencana

Gigitan Wolves tanpa belas kasihan

wolves-(1).jpg
Siapa sangka, pasukan yang baru naik daripada Liga Kejuaraan musim lalu kini ditangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) malah mungkin boleh menikmati aksi Eropah musim depan.

Kemenangan 3-1 ke atas Arsenal, awal pagi tadi, memperlihatkan kekuatan yang dimiliki anak buah Nuno Espirito Santo.

Dia mula membina pasukan itu semenjak menjuarai Liga Kejuaraan, kemudian hadir dalam kancah Liga Perdana Inggeris dengan gaya tersendiri.

Menggunakan pengaruhnya sebagai warga Portugis, dia membawa masuk nama-nama besar dalam pasukan Portugal seperti Joan Moutinho, penjaga gol, Rui Patricio, serta meminjam Raul Jimenez daripada Benfica untuk menghadapi saingan liga.

Dengan gabungan pemain-pemain sedia ada seperti Diogo Jota serta Ruben Neves, skuad ini melakukan kejutan satu demi satu.

Kalau tidak kerana gol masa tambahan Gerard Deulofeu, kisah dongeng Wolves mungkin lebih indah dengan melangkah ke final Piala FA.

Rekod menunjukkan Wolves meraih 16 mata daripada 11 perlawanan dengan pasukan enam teratas liga. 

Malah, statistik menunjukkan mereka lebih banyak memenangi perlawanan menentang pasukan enam teratas, berbanding enam terbawah pada ketika ini.

Rekod musim ini dalam semua kejohanan menyaksikan mereka berjaya menewaskan Manchester United sebanyak dua kali selain turut meraih kemenangan ke atas Arsenal, Tottenham Hotspurs, Chelsea, dan Liverpool.

Andai Manchester City menang Piala FA, slot ke kelayakan Piala Europa akan jatuh ke pasukan tangga ketujuh liga.

Dengan berbaki tiga perlawanan, kisah indah Wolves bakal dinoktahkan dengan kegembiraan andai mereka kekal di tangga ketujuh liga sambil mengharapkan Manchester City menewaskan Watford dalam final Piala FA.
 

Advertisement

Must Watch Video