Gergasi yang tidur sudah bangkit
“Jangan lupa bagi penghargaan kepada jurulatih kecergasan Mashiedee Sulaiman,” bisiknya.
“Program latihannya yang memberikan perbezaan. Pemain Selangor laju dalam menyusun serangan balas kilat dan tidak begitu terjejas kecergasan keseluruhan sekalipun bermain atas padang yang berat.”
Sekilas pandang, pandangan bekas pemain Selangor itu ada benarnya.
Di sebalik dua jaringan daripada ledakan kaki kiri Ahmad Hazwan Bakri – yang pertama satu kuisan di sudut kiri petak penalti Kedah selepas sentuhan pertama yang kemas hasil hantaran Guilherme de Paula, yang kedua ledakan mengeggar gawang lawan dari sudut kegemaran penyerang itu – ramai juga yang memberi penghargaan kepada jurulatih Mehmet Durakovic.
Legenda yang menjulang tiga Piala Malaysia berturut-turut pada 1995-97 itu melengkapkan satu pencapaian ulung – jurulatih asing pertama memenangi piala keramat itu sebagai pemain dan jurulatih.
Mehmet dilantik pada penghujung 2013 untuk merencana kebangkitan Selangor sesudah Irfan Bakti Abu Salim mengangkat kaki pada Ogos tahun itu gara-gara kecewa dengan prestasi dalam Piala Malaysia.
Perbincangan awal membabitkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad dan naib presiden, Datuk Samin Sarmin dan beberapa anggota pentadbiran membawa Mehmet dari Australia ke Kuala Lumpur.
Mehmet pun bukanlah pilihan utama kerana calon pertama B. Sathianathan tidak jadi meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekalipun sudah menyatakan persetujuan.
Dalam kekalutan itu, menjelang Liga M 2014 juga, Mokhtar dan rakan-rakan cuba membentuk sebuah barisan yang mampu mencabar dengan diterajui Mehmet.
Percubaan melamar Safee Sali dari JDT tidak berhasil, sebaliknya Mahalli Jasuli, S. Kunanlan dan Amri Yahyah antara yang meninggalkan Selangor dalam tempoh dua musim.
Tampil Paulo Rangel dan Andik Vermansyah – dua pemain import yang membawa impak berbeza.
Kepulangan Mashiedee sebagai jurulatih kecergasan juga satu faktor. Mashiedee adalah antara tenaga di belakang tabir untuk Selangor dari 1999-2002 sebelum berhijrah ke Felda United dan Negeri Sembilan dan mencari rezeki di Libya, India dan Myanmar.
Mokhtar yang juga antara yang awal memperkenalkan khidmat pakar pemakanan, kecergasan dan motivasi pada 1998, turut menyuntik tenaga muda dalam urus tadbir FAS, dengan mencadangkan bekas pemain Abdul Rauf Ahmad dan ahli korporat Noor Hisham Mohd Ghouth selaku ahli majlis FAS.
Pakar telinga, hidung dan tekak, Dr Iqbal Farim Rizal Wong pula dibawa masuk sebagai ahli jawatankuasa Liga Pro FAS.
Namun Selangor 2015 jauh lebih stabil kedudukan kewangan dengan sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali, di bawah pengurusan secara mikro daripada pengurus pasukan Amiruddin Shari.
Akhirnya misi 33 disempurnakan, sebagaimana pada 2005 apabila diurus Datuk Satim Diman dengan Dollah Salleh selaku jurulatih yang menggandingkan Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Khalid Jamlus dan Elie Aiboy dalam membedil benteng lawan.
Di sebalik kontroversi Zainal Abidin Hassan dilamar di saat Selangor bergelut menyempurnakan misi 33, FAS sedar Piala Malaysia bukan impian sebenar penyokongnya.
Cemburu dengan kejayaan JDT muncul juara Piala AFC, mereka mahu gelaran lebih besar. Sama ada tugas itu dipikul oleh Zainal atau Mehmet, itu sebenarnya cabaran jurulatih Selangor pada 2016.